CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 71|Reply: 0

Peguam Syarie Menulis: Tebus talak imbangi kuasa suami, pertahan hak isteri

[Copy link]
Post time 9-11-2011 09:05 AM | Show all posts |Read mode
Nilaian bukan wang saja, boleh dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan maharPERCERAIAN bukanlah satu perkara yang menarik untuk dibincangkan, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru saja mendirikan rumah tangga. Walau bagaimanapun, perceraian menjadi isu utama dibicarakan di Mahkamah Syariah.\n\n\n\n  Ada sebab mengapa pasangan mengambil keputusan untuk bercerai dan pembubaran perkahwinan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti jatuhnya talak dengan cara baik, melalui fasakh, taklik atau tebus talak.\n\n\n\n\n\n  Malangnya, ramai tidak memahami perceraian tebus talak atau khuluk yang membabitkan permintaan isteri untuk diceraikan dengan cara menebus hak talak daripada suami dan isteri akan membayar mengikut jumlah dipersetujui. Dalam kata lain, isteri membeli talak dari suami.Tebus talak terjadi disebabkan kedua-dua pihak khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam perkahwinan. Bagaimanapun, tebus talak hanya boleh berlaku dengan adanya alasan munasabah serta bukti yang kukuh.Dari segi amalan perundangan di Mahkamah Syariah di negara ini, kebiasaannya permohonan perceraian dilakukan pihak isteri melalui permohonan bercerai dengan cara baik contohnya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.Jika suami tidak bersetuju untuk menceraikan isterinya, maka tawaran tebus talak boleh dilakukan terhadap suami ataupun tawaran oleh pihak suami kepada isteri. Jika suami tidak bersetuju, kes akan dirujuk kepada jawatankuasa pendamai mengikut Seksyen 47 (5)  Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.\n\n\n\nJika suami bersetuju untuk melepaskan isteri melalui tebus talak yang ditawarkan, maka perceraian akan melalui proses biasa dan direkodkan perceraian secara tebus talak mengikut Seksyen 49 (2) Enakmen Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Mungkin ada yang tertanya berapakah jumlah bayaran tebus talak yang sewajarnya bagi pasangan bersetuju untuk bercerai secara tebus talak. Merujuk Seksyen 49 (3) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah bayaran tebus talak mengikut hukum syarak, taraf pihak-pihak serta sumber kewangan mereka setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya. Contohnya, kes Talib lwn Sepiah, suami enggan menceraikan isteri walaupun dengan cara tebus talak. Oleh itu, mahkamah memutuskan kes itu dirujuk kepada pihak hakam malangnya selepas perbincangan serta rundingan, hakam gagal menyelesaikan kes itu.Hanya selepas perlantikan hakam kali kedua, suami bersetuju menceraikan isteri secara tebus talak sebanyak RM100,000. Nilaian tebus talak bukan berdasarkan kepada wang semata-mata, nilaian tebus talak boleh juga dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan mahar (mas kahwin) sama ada banyak mahupun sedikit. Namun, perlu ditekankan bahawa menjadi sunat kepada lelaki untuk mengambil tidak lebih daripada mahar (mas kahwin) yang diberikan kepada isteri mengikut beberapa pandangan ulama.Tebus talak boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun ketika isteri dalam haid, berbeza dengan talak biasa yang memerlukan isteri berada dalam keadaan suci ketika lafaz talak dilakukan. Perceraian secara tebus talak tidak boleh dirujuk kerana dikira sebagai talak bain dan jika pasangan ini ingin bersama semula, mereka perlu akad nikah semula bagi menghilangkan kemudaratan yang berlaku pada tempoh perkahwinan itu. Jika tebus talak dijatuhkan kepada talak raji’e yang boleh dirujuk, berkemungkinan suami boleh merujuk isteri dalam tempoh edah dengan tujuan memudaratkan isterinya.Tebus talak yang diberikan kepada isteri adalah sebagai mengimbangi kuasa talak yang ada pada lelaki. Jika lelaki tidak menyukai isterinya maka boleh digunakan talak bagi melepaskan isterinya dan sebaliknya jika isteri tidak menyukai suaminya, maka boleh digunakan tebus talak. Oleh itu, wanita khususnya pihak isteri seharusnya mengetahui hak mereka kerana perceraian tidak bergantung kepada lafaz talak oleh suami malah Islam juga memberi ruang kepada isteri untuk membubarkan perkahwinan melalui cara lain dan salah satunya adalah melalui tebus talak. Pihak lelaki juga seharusnya tidak bertindak zalim dengan meletakkan bayaran tinggi sebagai syarat kepada isteri melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedangkan kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antara (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (Surah al-Nisa’, ayat 20-21)

[Source]                [Go Back to Citizen Journalist]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-9-2024 10:31 PM GMT+8 , Processed in 0.060521 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list