Wawa sedih dalam syukur
Oleh Syanty Octavia Amry
[email protected]
PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Agra, India, hati pelakon cantik, Wawa Zainal tersentuh apabila melihat ramai kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU) berkeliaran meminta sedekah di jalanan.
Menyaksikan kejadian yang berlaku, hati gadis berusia 20 tahun itu bukan saja tersentuh malah ada ketika air matanya mengalir dek melihat kepayahan yang dialami penduduk di negara berkenaan sehinggakan jumlah peminta sedekah dilihat begitu ramai.
Cuba memberi bantuan dalam bentuk wang, Wawa terpaksa melakukannya ketika kenderaan hendak bergerak berikutan jika diberi waktu van berhenti, akan lebih ramai lagi peminta sedekah yang menyerbu.
Begitulah antara situasi yang dilalui Wawa ketika berada selama 10 hari di negara padat penduduk itu pada Oktober lalu bagi menjalani penggambaran tiga drama lakonannya antaranya Cinta Qaseh untuk TV3, Serindu Taj Mahal (Astro) dan Nur Qalesya (RTM) terbitan Neon Entertainment.
Kehadiran Wawa bukan hanya bersendiri, sebaliknya dia juga ditemani pelakon Adi Putra, Shahz Jaszle dan Elfaezah Ul-Haq berserta kru penerbitan.
Ketiga-tiga drama berkenaan diarahkan Feroz Kader dan mengambil suasana perkampungan di Agra selain Taj Mahal sebuah monumen yang menjadi kebanggaan rakyat India.
Mengambil peluang berjalan-jalan di sana, Wawa mengakui waktu yang terhad disebabkan sibuk sepanjang masa melakukan penggambaran, menyebabkan tidak banyak tempat yang sempat dilawati.
Namun Wawa sempat membeli beberapa helai selendang dan kain sari untuk koleksi dirinya dan keluarga yang mana baginya negara berkenaan adalah tempat membeli belah yang menarik di samping barang yang cantik dan jarang dapat ditemui di Malaysia, malah harganya juga jauh lebih murah.
“Sampai saja di lapangan terbang, saya teruja dan tidak sabar untuk melihat keadaan di Agra, maklumlah apabila pertama kali menjejakkan kaki pastinya rasa gembira itu lebih daripada biasa.
“Namun apabila melakukan perjalanan untuk ke tempat penginapan pelbagai perkara baru yang saya temui sehing�gakan saya rasa begitu bersyukur kerana dapat membesar dan menjadi anak Malaysia dalam suasana yang serba selesa.
“Terlalu ramai kanak-kanak dan OKU yang terbiar di kanan dan kiri jalan meminta sedekah malah ada yang sanggup berjalan mengesot di atas jalan raya yang kotor dan penuh habuk sehinggakan hati saya menjadi sedih dan sayu melihatnya,” kata Wawa.
Wawa yang berasal dari Lahad Datu, Sabah turut berkongsi rasa cemas apabila melihat pemanduan yang dilakukan pengguna jalan raya di sana tidak teratur dan masing-masing menjadikan hon sebagai isyarat untuk memotong.
“Darah saya berderau apabila melihat pemandu yang membawa kami memandu dalam keadaan begitu bahaya, katanya di negara itu memang begitu caranya kerana tiada peraturan yang diharuskan untuk pemandu mematuhi arahan lampu isya�rat. Jadi hon kereta menjadi halwa telinga sepanjang saya di dalam van.
“Ia satu pengalaman baru untuk saya namun pemanduan yang begitu bahaya tidak dapat saya bayangkan sekiranya saya memandu di sana, pastinya sudah lama dilanggar,” katanya sambil ketawa.
Walaupun terhad untuk menjelajah seluruh pelusuk Agra, Wawa tidak melepaskan peluang mengambil gambar bagi dijadikan kenangan dan tatapan dirinya.
Menariknya ketika berada di Sungai Jamuna, dia terkejut dengan situasi di mana sungai itu dijadikan tempat mandi dan membasuh pakaian oleh penduduk sekitar.
“Saya terkejut dengan keadaan itu, maklumlah di Malaysia ia tidak berlaku dan apabila melihatnya saya rasa sangat berbeza cara hidup mereka dengan di sini.
Di Malaysia, sungai perlu dijaga sedangkan di sana mereka menjadikan sungai untuk mandi dan membasuh malah sepanjang sungai turut dijadikan tempat menyidai pakaian.
“Selain di Agra, kami sempat singgah di New Delhi dan waktu selama tiga jam saya manfaatkan untuk membeli belah dan berjalan melihat sejarah di situ. Apa yang menarik, keadaan di Agra dan New Delhi sangat jauh berbeza.
“Masyarakat di New Delhi jauh lebih maju malah keadaannya sedikit bersih berbanding Agra yang kotor. Kami semua lebih selesa memasak sendiri daripada membeli makanan di kedai,” katanya.
Pengalaman dicium dan dicubit pipi sehingga bercalar oleh peminat juga adalah kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh Wawa sampai bila-bila. Menurutnya, keterujaan peminat di sana tidak sama dengan di Malaysia.
“Saya lihat peminat di sana begitu menghargai pelakon luar. Disebabkan geram melihat saya, banyak kali pipi saya dicubit oleh mereka sehingga tercalar.
Malah ada yang datang memeluk dan mencium saya.
“Apa yang berlaku sedikitpun tidak membuat saya rasa takut sebaliknya rasa sangat dihargai oleh mereka yang begitu menyanjungi orang luar yang berkunjung ke tempat mereka. Rasa lucu jika mengenangkan insiden yang berlaku sehinggakan kru penerbitan ketawa melihat situasi yang saya alami,” katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15
|