|
Atlet renang berirama Negeri Sembilan bergaya dengan pingat emas selepas menjuarai acara kombinasi di Pusat Akuatik Nasional, semalam.
HANYA 0.1 mata membezakan pemenang pingat emas, Negeri Sembilan acara renang berirama kategori kombinasi berpasukan yang menutup tirainya di Pusat Akuatik Bukit Jalil, semalam.
Negeri Sembilan yang memperolehi 70.4 mata meraih emas ketiga pasukan, sementara Wilayah Persekutuan mendapat 70.3 mata untuk perak dan gangsa diserah kepada Pulau Pinang dengan 69.6 mata.
Perbezaan itu, walaupun sedikit, tetapi cukup bermakna buat skuad bimbingan jurulatih dari China, Hu Shuxia, ini untuk memastikan tiga pingat emas menjadi milik mereka.
“Pada mulanya, kami hanya jangka emas daripada rutin kombinasi berpasukan dan teknikal berpasukan.
“Tetapi pencapaian di temasya kali ini melebihi dari apa yang disasarkan (dua emas) dan saya amat berbangga.
“Walaupun di usia terlalu muda lingkungan 11 hingga 15 tahun, tetapi mereka, mempamerkan persembahan cukup bertenaga,” katanya.
Bagi Pengurusnya, Ang Kim Hong, keputusan cemerlang diperolehi merupakan hadiah tidak ternilai atas pengorbanan dan kerja keras dilakukan selama ini.
“Persediaan insentif dilakukan sejak enam bulan lalu, dan atlet hanya diberikan satu hari rehat dalm tempoh seminggu. Ini bermakna mereka perlu berlatih selama enam hari.
“Disebabkan mereka terikat dengan jadual sekolah, maka latihan hanya dimulakan setiap kali tamat sesi persekolahan. Kemenangan ini amat berbaloi setelah penat berlatih,” katanya.
Secara keseluruhan, Negeri Sembilan memenangi tiga emas dan dua perak daripada enam acara disertai.
|
|