|
Sultan Ibrahim dan Tengku Abdullah bergambar bersama penaja Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor 2013, semalam.
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memuji barisan pemain muda yang menunjukkan peningkatan dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2013, lapor MOHD FIRDAUS YON.
Bagaimanapun, baginda mahu setiap kelemahan yang ada khususnya pada barisan pertahanan dapat diperbaiki segera bagi perlawanan seterusnya.
“Saya berasa pemain-pemain muda nampak banyak peningkatan walaupun kita tahu ada sedikit sebanyak kelemahan khususnya di bahagian pertahanan.
“Saya harap pertandingan akan datang, pasukan dapat memperbaiki segala kelemahan.
“Jangan buat kesilapan kecil yang boleh susahkan pasukan nanti,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tajaan dan Makan Tengah Hari Bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, semalam.
Tengku Abdullah turut berharap pasukan kebangsaan dapat menamatkan dengan baik kejohanan berkenaan sekali gus bersedia untuk Kejohanan Piala Dunia Remaja pada bulan Disember.
“Apa yang saya nak lihat adalah dalam setiap perlawanan, tidak kira final atau tidak, pasukan mengetahui peningkatan seterusnya mengurangkan kelemahan.
“Saya nak tentukan jurulatih dapat memperbetulkan kelemahan yang terdapat dalam barisan pemain, itu yang penting.
“Jadi kejohanan ini (Piala Sultan Johor) merupakan satu pertandingan yang begitu baik untuk jurulatih kita kenal pasti kelemahan dan kekuatan. Harap dapat atasi masalah dan kelemahan,” katanya.
Baginda turut berharap semua pemain memahami sistem yang diwujudkan oleh jurulatih dan mempraktikkan setiap tunjuk ajar diberikan ketika sesi latihan.
|
|