|
Diana beraksi dalam kategori Nan Gun Wanita pada Kejohanan Wushu Dunia Ke-12 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.
SELEPAS menyumbang pingat emas dalam acara Nan Dao Wanita pada Sabtu lalu, atlet senior Wushu kebangsaan, Diana Bong mengutip pingat perak melalui acara Nan Gun Wanita dalam Kejohanan Wushu Dunia ke-12, semalam.
Atlet berusia 28 tahun dari Kuching, Sarawak itu memperoleh 9.58 mata, hanya 0.02 mata di belakang pemenang pingat emas, Misaki Saka dari Jepun.
Pingat gangsa menjadi milik Lin Chih-Yu dari Taiwan dengan 9.56 mata.
"Walaupun mendapat pingat perak, saya berpuas hati dengan prestasi saya di Kejohanan Wushu Dunia ini. Kebiasaannya selepas tiga hari bertanding, kebanyakan atlet akan menjadi letih, termasuklah saya.
“Tetapi hari ini saya rasa persembahan saya lebih stabil daripada dua acara sebelum ini. Saya puas hati sebab dapat memperbaiki keputusan saya dalam acara ini,” katanya.
Beliau memperoleh pingat gangsa dalam acara itu ketika menyertai kejohanan yang sama di Kanada pada 2009 dan Turki (2011).
“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan prestasi saya. Pencapaian di sini memberi semangat kepada saya untuk beri persembahan terbaik di Sukan Sea Myanmar nanti,” katanya.
|
|