Ni cerita paling pendek Ipo nak tepek..citer ni dah lama dalam simpanan..
tak de sambung2 lagi tau.. sekadar hiburan di pagi ni..
SUZUKI terkejut bila jam loceng di atas meja belajar berbunyi nyaring. Tangannya meraba-raba mencari punat jam. Sesekali dia menguap dan menggeliat. Matanya menjeling jarum jam. Enam suku pagi. Dia bangun malas menuju ke bilik air, bersihkan diri.
Seusai solat subuh, Suzuki buka pula komputer riba. Pagi-pagi begini dia lebih suka melayan facebook sambil mendengar lagu kegemarannya..’Kosong’..dan ‘ Untuk Dia’ nyanyian Najwa Latiff. Sejak berkenalan dengan seorang gadis secara tak sengaja dalam facebook, dia seolah kemaruk dengar lagu penyanyi cilik itu. Status gadis facebook itu yang dibaca dulu. Tiada nama sebenar. Gadis itu hanya dikenali dengan nama ‘Kosong’. Kemudian dia beralih pula membaca status dari teman facebook yang lain. Sesekali dia senyum sendiri.
“Dah tak ada cerita agaknya…”
Senyum bila melihat status yang dibaca. Hanya sebaris ayat bertanya dah makan ke belum. Dia geleng. Tangannya masih ligat memegang tetikus. Sejak dia kembali bekerja selepas tamat kursus sarjana, jarang sekali dia menjenguk facebook. Waktu beginilah yang hanya dapat digunakan untuk melayari laman web sosial itu. Sebelum tutup, sempat dia menghantar mesej kepada gadis ’Kosong’.
Jam di meja sudah hampir tujuh setengah pagi. Dia capai kunci motosikal dan terus memecut ke arah kedai mamak berhampiran. Hujung minggu begini, itulah rutin hariannya. Pagi-pagi sudah tercongok di kedai mamak. Hidup bujang memang senang. Rasa lapar, kedai bersepah di sekitar taman perumahan. Pilih saja. Janji duit ada!
Motosikal Suzuki membelok ke arah Restoran Semua Ada. Dia makan di situ bukan kerana rasa makanan yang sememangnya rasa ala mamak tapi kerana ada sesuatu yang menariknya ke situ. Motosikalnya diletak di tepi pokok yang agak rendang daunnya. Suzuki betulkan rambut yang kelihatan sedikit kusut. Topi keledar dibawa bersama. Tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pernah sekali topi keledarnya hilang gara-gara letak begitu saja di atas motosikalnya.
“Ki!!”
Suzuki berpaling bila melihat Mat Bangla mengangkat tangan ke arahnya. Dia balas lambaian Mat Bangla itu yang kelihatan ceria sambil menebar roti canai.
“Assalamualaikum!”
Suzuki duduk di meja yang mengadap betul-betul Mat Bangla tadi. Begitu cekap dia menebar roti. Roti dilambung tinggi. Sesekali kedengaran tepukan dari pelanggan di situ bila melihat roti itu dilambung tinggi! Ada gaya!
“Bacha! Kasi teh tarik satu! Kurang manis! Telur masak separuh satu!” Suzuki senyum.
“Najwa Latif tak mahu ka?” Mat Bangla senyum.
“Boleh! Kasi satu!” Suzuki senyum. Mat Bangla itu sudah tahu menunya. Dia mula rapatkan kerusi ke meja sambil membelek The Star.
“Okey! Siap!”
Mat Bangla sengih. Cepat saja dia menebar satu lagi roti canai.
Suzuki senyum sendiri. Sejak dia panggil Najwa Latif, roti canai di kedai mamak itu laku bak goreng pisang panas! Gara-gara mulut celuparnya menyebut Najwa Latif, kedai mamak itu sudah mula mendapat perhatian pelanggan. Malah menu di dinding kedai itu sudah mula bertukar. Roti kosong Najwa Latif!
“Ki..awak punya nama roti Najwa Latif banyak kasi ini kedai rezeki!”
Mat Bangla sengih lagi. Suzuki turut senyum. Kadang-kadang dia dapat makan percuma.
Suzuki jeling sekitar restoran. Mana dia?? Tak datang ke hari ni? Dia tertanya-tanya sendiri. Matanya ligat memerhati sekeliling. Hanya ada beberapa orang pelanggan yang sedang enak menikmati roti canai. Dia menatap semula akhbar The Star. Udara pagi yang sejuk akibat hujan lebat malam tadi cukup menyegarkan. Selalunya dia akan duduk di meja yang mengadap kipas angin besar. Kali ini dia berubah angin.
“Ki, amacam? Ada sihat ka?” Mat Bangla kedua datang membawa teh tarik dan telur yang diletak dalam mangkuk kecil.
“Banyak sihat Bacha! Bisnes okey ka?” Suzuki senyum.
Mat Bangla itu hanya angguk sambil tersenyum.
Suzuki senyum lagi. Semua pekerja restoran di situ sudah kenal namanya. Setiap pagi Sabtu dia akan lepak di situ. Sejak berpindah di kawasan perumahan enam bulan lalu, kedai mamak itulah yang menjadi tempat lepak. Pagi, tengah hari dan malam. Matanya melilau mencari seseorang. Orang yang ditunggu tidak juga tiba. Dia jeling jam. Sudah hampir lapan setengah pagi. Selalunya waktu begini orang yang ditunggunya sudah terpacak kat kedai mamak.
“Najwa Latif sudah sampai!” Mat Bangla penebar roti tadi meletakkan sepinggan roti canai yang sudah dicarik-carik bersama sepiring kuah kari berapi.
Suzuki senyum bila Mat Bangla itu mula kenyit mata. Hampir-hampir dia terkejut, ingatkan gadis yang ditunggu tadi sudah sampai.
“Ki..buah hati belum sampai ka?”
Suzuki hanya senyum kelat. Dalam hati sebenarnya dia gelisah. Orang yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Akhbar diletak di tepi meja. Perlahan dia mengunyah roti kosong yang dipesan tadi. Dalam hatinya begitu gundah. Kadangkala dia senyum sendiri bila mengenangkan dia kini berkenalan dengan dua gadis serentak. Seorang di alam maya dan seorang lagi di kedai mamak! Tamak!
Teh tarik dihirup perlahan sambil mata memerhati sekitar kedai. Masih tiada bayang-bayang. Ah! Kenapa pula aku resah? Akhbar The Star dicapai lagi, menyambung kembali bacaannya tadi. Sedang leka menatap berita, tiba-tiba ada seorang gadis duduk di mejanya betul-betul berhadapan dengannya.
“Awak Suzuki kan?”
Suzuki pandang tidak berkelip. Seorang gadis manis berbaju kurung merah dan bertudung ala penyanyi Najwa Latiff sedang memandangnya sambil menguntum senyum.
“Err..ya saya. Awak siapa?” Suzuki masih tergamam.
“Saya Kosong!”
Akhbar di tangannya hampir terjatuh. Dia cepat-cepat ambil. Tidak percaya dengan kata-kata gadis itu sebentar tadi. Antara percaya dengan tidak, Suzuki cuba bersikap selamba. Dia betulkan duduknya sambil berdehem kecil.
“Jadi awaklah gadis kosong di facebook tu?” Suzuki cuba bersuara selamba tapi masih ada getaran.
Si gadis angguk.
“Err..siapa nama awak?”
“Najwa!”
Suzuki terkedu. Mungkin sebab itulah dia letak nama di facebook ‘Kosong’!
Perlahan wajah gadis itu diamati. Boleh digolongkan dalam kategori agak cantik walau tak secantik Siti Nurhaliza! Manis pun ada. Kulit pula agak putih dan yang jelas, gadis itu mempunyai tahi lalat di atas kanan bibir.
“Macam mana awak tahu saya kat sini?”
Gadis ‘Kosong’ itu senyum lagi. Dia biarkan soalan tidak berjawab. Tangannya diangkat dan memanggil pekerja restoran di situ.
“Abang! Milo panas dan Roti kosong satu!” Gadis ‘Kosong’ senyum.
Mat Bangla mula kembang hidung bila gadis ‘Kosong’ itu panggilnya abang. “Oh..mau Najwa Latiff ka?”
Gadis ‘Kosong’tercengang. Keningnya berkerut. “Ha!..Najwa Latiff??”
Mat Bangla itu senyum sambil berlalu pergi. Gadis ‘Kosong’ masih bingung. Suzuki pula hanya senyum.
“Kenapa panggil Najwa Latiff?” Gadis ‘Kosong’ pandang Suzuki.
Suzuki tidak menjawab sebaliknya dia menuding ke arah menu besar di dinding.
“Awak belum jawab soalan saya tadi, betul ke awak ni Kosong? Macam mana awak tahu saya kat sini?” Suzuki masih bingung.
“Kan dalam facebook tu awak hantar mesej yang awak lepak kat kedai mamak ni setiap pagi Sabtu!” Gadis ‘Kosong’ itu menyambung bicara.
Suzuki senyum. Begitu berusaha gadis itu mencarinya sampai ke kedai mamak tapi yang pasti dia masih menunggu seseorang yang masih belum muncul. Kini dia pasti, dua orang gadis yang menjadi kenalannya kini ternyata mempunyai ciri berbeza. Najwa, gadis ‘Kosong’ yang sedang duduk di depannya kini nyata seorang gadis yang berani. Seingatnya gadis itu tinggal agak jauh dari tempat tinggalnya. Dari jauh dia datang semata-mata ingin berjumpa dengannya di kedai mamak itu. Hatinya mula gelisah, kalau gadis yang ditunggu muncul tika ini…apa yang harus dia lakukan? Dating dengan dua gadis sekali gus di tempat sama??? Ah! Kalut!
“Ki..ini ka buah hati?” Mat Bangla membawa segelas milo panas sambil senyum memandang Suzuki yang mula tersipu-sipu.
Gadis ‘Kosong’ itu turut senyum, menyangka Suzuki memang menunggunya di situ.
“Err..Bacha, kasi satu lagi teh ais!” Suzuki semakin gelisah. Badan terasa bahang tiba-tiba. Mukanya mula berpeluh.
Dia pandang gadis ‘Kosong’ yang leka menikmati milo panas. Sesekali pandangan mereka bertembung. Cepat-cepat dia alihkan arah mata. Nyata gadis di depannya berani merenungnya begitu. Terasa pula dia seperti perempuan. Gementar bila direnung begitu. Ah! Aku ni lebih malu dari perempuan!
Matanya mula melilau mencari kelibat gadis yang ditunggu dari tadi. Jam sudah hampir sembilan empat puluh lima minit pagi.
“Emm..awak nampak menggelabah. Kenapa?” Gadis ‘Kosong’ seakan dapat meneka riak jejaka di depannya.
“Tak..tak ada apa..minumlah. ” Suzuki cuba bersikap selamba sekali lagi.
Sedang leka melayan gadis ‘Kosong’, matanya tertancap pada susuk tubuh yang amat dinanti. Gadis yang ditunggu dari tadi telah terpacak di meja hujung. Kali ini dia bersama seorang budak yang pada hemahnya mungkin masih bersekolah rendah. Gadis itu manis dengan baju kurung dan juga memakai tudung sama dengan gadis di depannya.
Suzuki mula membandingkan kedua gadis itu. Dua-dua manis dan menawan. Ah! Apa aku nak buat ni?? Yang mana satu aku nak pilih? Fikirannya melayang mengingati perkenalan tak diduga dengan gadis di meja hujung itu minggu lepas. Semuanya gara-gara pesanan roti canai yang dilaungkan dengan kuat.
|