|
Apabila Hijab Terbuka
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Terbukanya hijab (sekatan pembatas) antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup.
Ketika hijab telah terbuka, semua yang kita alami hanyalah nikmat belaka. Betapa tidak, dalam setiap keadaan, kita akan merasakan kehadiran Allah Azza wa Jalla.
Lebih jauh lagi, kita akan "melihat" Allah dalam setiap kejadian. Inilah keindahan yang tidak bertepi.
Adalah sesuatu yang boleh difahami apabila Rasulullah saw mengungkapkan kehairanannya terhadap orang-orang Mu'min, orang yang telah terbuka hijabnya kerana semua perkara yang dialaminya sentiasa berbuah kebaikan.
- Apabila diberi kenikmatan ia bersyukur dan syukur itu baik baginya.
- Ketika ia diberi ujian, ia bersabar dan sabar itu adalah kebaikan baginya. Dengan sabar ia pun akan lebih dekat lagi dengan Allah swt.
Orang yang telah ma'rifat dan terbuka hijabnya, hatinya akan dipenuhi keyakinan bahwa Allah akan sentiasa menolongnya.
Lihatlah bagaimana ketika Da'tsur menghunuskan pedangnya ke leher Rasulullah saw :
"Wahai Muhammad, siapakah yang akan menolongmu sekarang?
Dengan penuh yakin beliau menjawab, Allah!"
Seketika itu juga Da'tsur terketar-ketar dan pedangnya terus terjatuh.
Rasulullah, dengan izin Allah, mampu melakukan perkara tersebut kerana baginda tidak ada
lagi hijab dengan Allah. Keyakinan bagindalah yang mendatangkan pertolongan Allah.
Kata-kata baginda begitu "powerful" dan sangat memberi bekas.
Ciri khas orang yang telah ma'rifat adalah lebih fokus kepada yang tersirat dari yang tersurat.
Hatinya akan lebih tertambat kepada Allah daripada cintanya kepada makhluk. Boleh jadi penglihatannya sama dengan orang lain namun ada nilai tambah dari penglihatannya tersebut.
Melihat wang misalnya. Bagi orang yang hatinya terhijab dari Allah, melihat wang hanya dari bendanya sahaja, bahkan bagaimana dengan wang tersebut syahwatnya hendak dipuaskan. Bukan begitu dengan orang yang ma'rifat, hadirnya wang adalah bersamaan dengan hadirnya
syukur.
Kehadiran wang bersamaan dengan keinginan yang kuat untuk semakin dekat dengan Allah.
Tidak hairanlah, dengan ma'rifat, puncak-puncak kemuliaan akhlak akan menjadi sebahagian dari sifat dirinya.
Orang-orang yang ma'rifat itu jumlahnya sangat sedikit. Mereka boleh datang dari kalangan mana sahaja, tidak semestinya dari kalangan ulama'.
Boleh jadi ia seorang tukang sapu, pegawai rendah, peniaga, penjawat awam dan sebagainya.
Ciri-cirinya sangat ketara dan mereka sangat Allah "oriented". Hasilnya, hidup mereka sangat terjaga.
Dipuji atau dicaci, mempunyai wang atau tidak mempunyai wang sama sahaja bagi mereka.
Ia tidak mempersoalkan kaya atau miskin, cantik atau tidak, kerana ia yakin bahwa semuanya ada dalam kekuasaan Allah.
Semuanya mengandungi kebaikan yang akan mendekatkannya kepada Allah. Alangkah
indahnya jika kita termasuk salah seorang dari mereka!
Terbukanya hijab menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup, begitu juga sebaliknya, tertutupnya hijab dan butanya hati dari mengenal Allah akan menjadi sumber kesengsaraan dan nestapa dalam hidup.
Kecemasan, kedangkalan fikiran, kemarahan, stres, kerendahan harga diri serta ketidaktenangan akan lahir bila kita lebih fokus kepada makhluk dibandingkan kepada Allah Al Khalik.
Ibnu Atha'illah mengungkapkan bahwa :
"Sesungguhnya yang menyebabkan kerisauan hati dari segala sesuatu itu disebabkan kerana mereka masih terhijab (tidak melihat Allah dalam apa yang mereka lihat), tetapi andaikata mereka telah "melihat" Allah dalam setiap sesuatu, pastilah hatinya tidak lagi merasa risau."
Bagaimana agar kita boleh mencapai ma'rifat?
Bagaimana kita boleh menyingkap hijab diri?
Setiap orang memiliki hijab yang berbeza-beza :
PERTAMA :
Ada orang yang terhijab kerana harta. Cirinya, ia sangat takut akan kehilangan harta manakala hati dan fikirannya hanya disibukkan oleh harta.
Latihan menyingkapnya adalah dengan banyak memberi, usahakan supaya dapat memberi apa yang disenangi atau disukai oleh kita.
KEDUA :
Ada pula yang terhijab oleh kedudukan. Cirinya bangga terhadap kedudukan yang disandang dan sangat takut kehilangannya.
Maka cara membukanya adalah menanamkan keyakinan bahwa jawatan adalah amanah yang mesti dipertanggungjawabkan.
Imam Al Ghazali memberi contoh di saat kita sedang berada di puncak karier, kita tidak perlu segan-segan memungut sampah, membawakan barang-barang di pasar dan sebagainya. Sesuatu yang dianggap orang pekerjaan yang hina.
KETIGA :
Ada pula yang hijabnya kecintaan yang berlebihan terhadap pasangan hidup, anak, keluarga, ilmu atau pun lawan jenis yang belum halal baginya. Bahkan ada pula yang hijabnya berlapis-lapis.
Oleh yang demikian, maka usaha untuk membuka hijabnya akan menjadi sesuatu yang luar biasa beratnya.
Sebagai intipatinya, hijab dunia latihannya ialah dengan :
Berlatihlah untuk banyak mengingati Allah, di mana dan bila-bila masa pun. Fahamilah keutamaannya.
Dalam melihat apa pun, sentiasalah kaitkan dengan Allah dan jangan hanya kepada makhluk.
Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami sehingga kami dapat melihat segala sesuatu yang tersurat itu perkara-perkara yang tersirat kerana hanya dengan memahami sesuatu yang tersirat sahajalah hati-hati kami akan menjadi ridha dengan segala ketentuanMu dan bersyukur dengan segala kurniaanMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam
"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"
|
|