Ting!
Bunyi duit syiling jatuh ke lantai tin empat segi itu berdenting, mungkin juga kerana jatuh diatas kepingan-kepingan syiling lain yang sudah beberapa keping ditabungkan bersama di dalam tin empat segi berhias puteri Snow White. Abaikan puteri itu!Puteri yang sudah lama menjelma di dalam hidupnya saat ulangtahunnya yang ketujuh. Tabung itulah hadiah daripada si ibu saat itu, dan sehingga kini selepas 20 tahun dia masih setia dengannya.
Hati puas. Jari-jemari mula menghitung lagi.
“Huhu...lambat lagi la nak penuh tabung ni,” Mira mencongak lagi.
“Belum cukup seminggu mula menabung dah start kecoh. Sengal la minah ni. Lain la kalau dah setahun,” Yaya membebel, penat melihat sahabatnya, Mira yang hampir setiap hari mengira-ngira duit tabungannya, yang katanya mahu menabung sekurang-kurangnya RM1 sehari. Tak boleh kurang! Itu kata Miralah. “Kau nak buat apa dengan duit tu? Selalunya kau tak macam ni pun. Kan tiap tahun kau menabung. Tak pernah pulak aku tengok kau merapu semacam je, eh, kau nak kahwin eh? Syukur Alhamdulillah...Tak sangka ek...diam-diam kau pun berisi jugak rupanya...,” Yaya sudah elok membuka silanya di hadapan Mira, mahu menadah sepenuh telinga ingin bergosip!
“Kerek betul la minah ni. Nah!” Satu cubitan besar hinggap di paha Yaya.
*****
Tahun pertama Mira memasang azam untuk melaksanakan ibadat korban pada raya Aidiladha tahun hadapan. Dia sudah sepakat dengan tunangnya, Rafiq, untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam ibadah korban pada tahun yang akan datang. Rafiq sudahpun mulakan langkah pertama pada Aidiladha yang baru saja berlalu. Katanya, sungguh terasa nikmat berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik, selain dari mencuba untuk menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Usai merayakan Aidiladha tempohari, Rafiq menyatakan keinginannya untuk dia dan Mira bersama-sama mengambil bahagian dalam melaksanakan ibadat korban pada tahun hadapan. Diceritakannya kepada Mira tentang kisah Nabi Ibrahim yang mendapat wahyu daripada Allah untuk melakukan penyembelihan terhadap Nabi Ismail. Sehinggalah Rafiq membacakannya dialog di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam surah As-Saffat: 102 yang bermaksud: Maka ketika anaknya itu sampai (pada umur yang mencukupi) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka berikanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab:“Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.
Mira lantas tertarik untuk meneruskan pencarian tentang hikmah daripada wahyu tersebut, dibacanya buku-buku ilmiah yang berkaitan ibadat korban, lalu menemukannya dengan tahap keimanan dan ketaqwaan seorang Nabi kepada Maha Penciptanya. Nabi Ibrahim yang sangat patuh kepada setiap apa perintah daripada Allah, dengan hati dan perasaan yang tidak berbelah bahagi, telah ingin melaksanakan perintah korban terhadap Nabi Ismail. Sehinggalah pada saat-saat akhir sebelum darah NabiIsmail menitis, Allah telah menukarkannya dengan seekor kibas, ganjaran kepada Nabi Ibrahim diatas kerelaan dan ketaatan baginda dalam melaksanakan tuntutan Allah.
*****
Tin empat segi itu diangkat lagi entah untuk ke berapa kalinya. Beberapa keping syiling dijatuhkan lagi ke dalam perut tin itu, digoncangnya untuk mendengar gegar syiling-syilingnya yang sudah mula membukit barangkali.
Wajah Rafiq yang menemani meja soleknya ditatap. Frame gambar berukuran 5R itu sudah hampir setahun elok terletak di situ. Sudah acapkali pula minah kerek Yaya tu asyik bertanya bila mereka akan berkahwin. Mira tiada jawapannya. Tunangnya masih belum memberi kata putus!
Kata Rafiq, sikit masa lagi, memohon waktu untuk dia menghabiskan saki baki tempoh Sarjananya. Lagipun, katanya lagi, hal-hal lain dia sudah bersedia, baik dari segi rumah, kereta, pekerjaan, semuanya sudah berada dalam keadaan yang mengizinkannya untuk menyunting suri idaman hati.
Mira kekal bertahan. Lagipun mereka sudah berjanji tempoh maksimum pertunangan adalah setahun. Masih ada beberapa bulan berbaki. Masih sempat untuk dia menyelesaikan semua keperluan untuk majlis perkahwinannya nanti. Tak sabar juga rasanya untuk menjadi raja sehari!
*****
“Saya ada hal sikit nak bagitau ni, hal yang luar biasa sikit, jangan terkejut pulak. Tarik nafas dulu...,” Mira tarik nafas mendengar muqaddimah Rafiq. Lain pulak nada suara tunangnya kali ini.
Bukan perkara biasa apabila Rafiq menelefonnya pada malam hari. Boleh dihitung bilangan malam-malamnya yang dihiasi dengan suara tunangannya itu. Rasanya sudah hampir sebulan tiada suara Rafiq dimalam hari.
“Apa?” Mira sudah tidak sabar.
“Kita kahwin, nak?” Bunyinya macam serius, tapi ada juga gelak halus dihujung suara Rafiq. “Hujung tahun ni kita kahwin. Ada tiga bulan lagi dari sekarang. Saya dah fikir masak-masak, saya nak laksanakan benda wajib dulu, sebelum kita laksanakan ibadah korban tu sama-sama nanti. Ibadah korban tu kan sunat, sunat muakkad. Biar kita selesaikan yang wajib, baru kita laksanakan yang sunat bersama-sama. Rasanya itu yang terbaik. Tak payah pening-pening sangat fikirkan tentang persiapan majlis kita nanti. Kita buat ikut kemampuan. Setujukan?” Panjang lebar bicara Rafiq, serius dalam keceriaan.
“Dah bincang dengan mak ayah? Bagi saya fikir dulu. Ini bukan benda main-main. Bagi saya masa sikit untuk buat keputusan,” Mira yakin memberi jawapan.
“Ok, saya pun belum bincang lagi dengan mak ayah...nak tanya pendapat awak dulu macamana...Tapi saya yakinlah diaorang mesti setuju. Awakkan bakal menjadi menantu kesayangan. Entah-entah saya yang terpinggir nanti,” buat-buat merajuk. Tahu sangat dia hati tunang tersayang, Mira pasti setuju. Jual mahal la tu, segan nak kata mahu. Siapa tak nak kahwin?
*****
Rafiq masuk ke dalam bilik, sementelah saudara-mara terdekat mula beransur pulang. Badan terasa penat, namun wajah masih terukir kegembiraan sebagai pengantin baru. Terlihat Mira sedang duduk-duduk tersenyum di atas katil, seolah memanggil-manggil dirinya untuk turut bersama.
Dia menghampiri Mira, spontan satu ciuman lembut hinggap di pipi isterinya. Seronoknya berkahwin, 24 jam hidup berteman, bukan sahaja tidur berteman malah mandi pun boleh saja berteman. Terima kasih ya Allah atas nikmat syurga dunia ini.
Mereka sudah berbincang dan sepakat untuk menyediakan satu tabungan bersama untuk laksanakan ibadah korban pada Aidiladha akan datang. Syaratnya mudah sahaja, setiap hari masing-masing perlu menabung sekurang-kurangnya RM1! Kalau sebelum ini mereka boleh menabung apabila berkehendakkan sesuatu, apa susahnya teruskan sahaja amalan menabung demi untuk ibadat korban pula.
Jika sudah ada niat yang baik mereka percaya insyaAllah jalannya dipermudahkan. Besar hikmahnya melaksanakan ibadah korban ini, bukan sekadar mereka terpaksa berkorban nafsu apabila cuba menahan diri dari memiliki sesuatu yang lain buat sementara waktu, malah dapat pula membentuk jiwa agar benar-benar ikhlas apabila perlu mengeluarkan sejumlah perbelanjaan yang besar demi membantu orang yang lebih memerlukan.
Samar lampu tidur menemani malam pertama mereka. Mata saling menjeling, ada debar di dada masing-masing...
TAMAT
Last edited by sarizu on 14-10-2014 10:58 PM
|