Lelaki Harapan Dunia: Budaya tradisi penuh nostalgia
Dia seorang pengarah berbangsa Cina, namun disebabkan jiwa yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu, tercetuslah idea menghasilkan filem berjudul Lelaki Harapan Dunia (LHD) yang mengisahkan kehidupan penuh tradisi kampung.
Liew Seng Tat atau Liew sebelum ini pernah mengarahkan filem berjudul Flower In The Pocket dan filem ini turut memenangi anugerah di festival filem antarabangsa antaranya di Busan, Korea Selatan; Rotterdam, Belanda; Fribourg, Switzerland; Deauville, Perancis dan Pesaro di Itali. Berkongsi kisah filem LHD ini, Liew berkata, idea menghasilkan skrip ini tercetus sejak empat tahun lalu. Namun, disebabkan memerlukan bajet yang besar ia tertangguh dan baru kini berjaya dilaksanakan.
"Ini filem Melayu pertama arahan saya. Sebelum ini, saya pernah juga mengarahkan filem Melayu. tetapi filem pendek dan ia tidak sama dengan LHD. "Saya melihat filem ini sebuah filem tradisi dan penuh nostalgia yang harus disaksikan oleh semua golongan tidak kira apa juga bangsa. "Jarang dapat kita lihat filem seperti ini dipaparkan. Melihatkan kejayaan filem The Journey yang berkisarkan kehidupan masyarakat, meyakinkan lagi hati saya bahawa filem ini harus dipertontonkan kepada masyarakat di Malaysia," katanya.
Liew berkata, idea menghasilkan filem ini juga timbul selepas melihat filem seperti ini agak kurang dipertontonkan. Malah, melalui kehidupan sebagai anak Cina yang membesar dalam kelompok masyarakat berbilang kaum membuatkan dia lebih yakin. "Sejak kecil saya hidup dikelilingi pelbagai bangsa. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan, saya mempunyai kawan dalam kalangan bangsa Melayu dan India. "Disebabkan sudah merasai kehidupan Melayu dan cara kampung, saya terapkan sedikit pengalaman saya itu di dalam filem ini. "Saya akui tidak mudah kerana saya perlu melakukan banyak kajian supaya apa yang cuba disampaikan tidak tersasar di samping menjaga sensitiviti masyarakat. "Oleh itu, saya turut meminta pandangan daripada seorang rakan yang saya panggil Ayam Fared untuk membantu kerana dia juga turut terbabit dalam teater yang banyak membabitkan masyarakat Melayu," katanya.
Filem LHD menjalani penggambaran selama 40 hari dan 95 peratus lokasinya di Padang Rengas dan Kuala Kangsar, Perak. Filem dibintangi Wan Hanafi Su, Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid dan Azhan Rani bakal menjengah pawagam pada 27 November ini. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8902#sthash.okPYfonj.dpuf
|