Di Terengganu, perniagaan keropok lekor adalah satu industri penting yang menjadi ikon negeri ini. Persaingan sengit membuka ruang kepada usahawan baru untuk menginovasikan produk makanan itu dalam gaya yang kreatif. Pembangunan dan penyelidikan (R&D) bertujuan membezakan produk sedia ada di pasaran, selain memastikan bisnes terbabit dapat bertahan lama.
Menyedari hakikat itu, Mohd Nazir Dagang yang menjadi pengeluar keropok terkenal di Bukit Tok Beng di sini, tidak hanya berpuas hati dengan jualan keropok lekor tradisional sedia ada, tetapi berusaha menghasilkan produk baru mengikut cita rasa semasa pelanggan.
Dari situ, lahirlah keropok lekor diinovasikan dalam tiga perisa iaitu keju, lada hitam dan bawang lada hitam. Ia bukan saja mendapat sambutan memberangsangkan penduduk tempatan, malah luar Terengganu. Menurut Mohd Nazir, idea menghasilkan keropok lekor berperisa keju ekoran sambutan ke atasnya semakin meningkat. “Ia tercetus selepas mendapati banyak produk makanan berasaskan keju yang dihasilkan usahawan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Walaupun keju bukanlah bahan utama dalam masakan masyarakat kita, ia dapat diterima dengan baik dan semakin digemari semua lapisan masyarakat,” katanya. Dari situ, Mohd Nazir terfikir untuk mengubah citrasa tradisional kepada elemen barat.
“Apa salahnya jika keropok lekor yang bercitarasakan tradisional disuntik dengan sedikit elemen ‘western’. “Ia bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan yang mungkin jemu dengan rasa yang sama selama berpuluh-puluh tahun,” katanya.
Mulanya usahawan ini agak risau juga memikirkan penerimaan pelanggan, tetapi ternyata eksperimen ini berjaya dan keropok lekor keju menerima permintaan yang amat menggalakkan. Menggunakan jenama Berkat Nazir, syarikat yang mula beroperasi pada 2005 itu turut mengeluarkan keropok lekor perisa lada hitam dan bawang lada hitam di samping mengekalkan keropok lekor tradisional sedia ada.
“Ketiga-tiga produk ini hanya boleh didapati di kedai kami dan dijual dalam bentuk sejuk beku dan siap goreng.
“Walaupun mendapat banyak permintaan untuk memasarkan produk ini di luar Terengganu, kami tidak mampu memenuhinya kerana kekangan masa dan tenaga kerja,” katanya. Syarikat itu menghantar bekalan kepada pembeli di Pantai Barat yang terdiri daripada pengusaha kantin dan orang perseorangan.
Pengeluaran tiga produk baru itu, kata Mohd Nazir menyebabkan perniagaannya semakin maju dan setiap hari sebanyak 1,000 kilogram isi ikan diproses bagi menghasilkan keropok. Bagi memastikan keaslian rasa keropok, dia masih mengekalkan kaedah lama iaitu menggunakan periuk rebusan besar yang dimasak di atas kayu api diwarisi daripada nenek moyangnya. “Saya pernah cuba menggunakan dapur gas, tetapi rasa dan aromanya tidak sama dengan yang biasa.
“Walaupun agak renyah, saya mengambil keputusan mengekalkan kaedah lama asalkan kualitinya baik dan pelanggan berpuas hati,” katanya. Ketika ini katanya, nilai jualan sekitar RM8,000 sehari dan meningkat dua kali ganda apabila musim cuti persekolahan.
“Insha Allah jika diizinkan, saya berhasrat memperbesarkan lagi perniagaan ini pada masa depan,” katanya yang turut dibantu 50 pekerja terdiri daripada penduduk setempat. Bagi yang pertama kali berkunjung ke premis Mohd Nazri, pasti agak pelik apabila melihat pelanggan beratur mengambil nombor giliran hanya untuk membeli keropok. Menurutnya, dia memperkenalkan kaedah itu bagi berlaku adil memandangkan jumlah pelanggan yang agak ramai pada satu-satu masa.
“Saya kasihan melihat pelanggan terutama ibu mengandung, warga emas dan kanak-kanak yang menunggu lama untuk membeli keropok lekor. “Dengan cara mengambil nombor giliran dan membuat tempahan awal, mereka bebas pergi ke mana saja sementara kami menyiapkan tempahan,” katanya yang turut memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kebersihan yang diiktiraf Jabatan Kesihatan Terengganu.
|