Kita biasa dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan santan kelapa kerana dikatakan mengandungi lemak tepu yang tinggi sekali gus meningkatkan paras kolesterol yang menyebabkan masalah kegemukan serta penyakit jantung. Sebenarnya, dakwaan itu mitos semata-mata berikutan kajian saintifik menunjukkan santan dan minyak kelapa adalah lemak tepu yang kaya dengan asid lemak rantaian sederhana (MCFAs) yang mempunyai pelbagai manfaat menakjubkan untuk kesihatan. Asid lemak juga dipanggil trigliserida.
MCFAs mengandungi antara enam hingga 12 rantaian karbon iaitu asid caproic (C6), asid caprylic (C8), asid capric (C10) dan asid lauric (C12). Setiap asid lemak ini mempunyai khasiat tersendiri untuk merawat penyakit atau masalah kesihatan tertentu. Makanan yang mengandungi MCFAs membantu menambah tenaga, meningkatkan metabolisme, meningkatkan pembakaran lemak, mengurangkan jumlah pengambilan makan, merendahkan jisim lemak tubuh dan mengurangkan berat badan.
Walaupun asid caproic, asid caprylic dan asid capric banyak diperoleh dari sumber semula jadi lain seperti susu kambing, tetapi minyak kelapa mengandungi kombinasi MCFAs dengan komponen utama adalah asid laurik iaitu kira-kira 50 peratus. Asid laurik juga paling dikenali berkhasiat berbanding asid lemak lain dan bertindak sebagai agen anti mikrobial yang digunakan dalam penyimpanan pemakanan, ubatan dan nutraseutikal. Malah, asid laurik yang dicerna dengan enzim dalam tubuh manusia menghasilkan monogliserida dikenali monolaurin yang membunuh patogen berbahaya seperti bakteria, virus dan kulat.
MCFAs dalam minyak kelapa mengalami proses metabolisme dalam tubuh yang berbeza daripada asid lemak rantaian panjang (LCFAs) apabila ia menuju terus ke hati dari saluran pencernaan. Penguraian MCFAs dalam hati menghasilkan zat keton yang digunakan sebagai sumber tenaga serta-merta tanpa perlu menyimpannya sebagai lemak badan.
Zat keton terdiri daripada tiga sebatian water soluble, dua sebatian digunakan sebagai sumber tenaga dalam jantung dan otak, manakala satu sebatian lagi adalah bahan kumuh dari tubuh. Dalam otak, zat keton adalah sumber tenaga penting ketika kandungan glukosa sangat rendah seperti sedang berpuasa, senaman berat, karbohidrat rendah, diet ketogenik dan neonatal. Penggunaan asid lemak ini sebagai sumber tenaga serta-merta juga mempunyai kesan terapeutik pada gang-guan otak seperti epilepsi dan penyakit Alzheimer.
Sementara itu, kajian baru oleh pakar anti penuaan dari Jepun menunjukkan peranan penting pemakanan tradisional Asia yang kaya dengan santan kelapa dan ikan berminyak dalam antipenuaan apabila manfaat dari MCFAs dan Omega-3 itu mampu melambatkan permulaan penyakit degeneratif dan kronik seperti Alzheimer dan penyakit jantung sekali gus menawarkan kehidupan hari tua yang lebih sihat.
Perubahan fizikal dan sosial yang dikaitkan dengan penuaan digabungkan dengan kesan yang melemahkan badan disebabkan penyakit berbilang, akut dan kronik seperti penyakit jantung dan strok, hipertensi, diabetes, kegagalan ginjal, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson, demensia dan banyak lagi.
Kemampuan menguruskan populasi penduduk yang semakin berusia dengan baik dan cekap akan menjadi antara cabaran terbesar bagi Malaysia, malah kepada populasi itu sendiri, penjaga mereka dan golongan profesional dalam penjagaan kesihatan.
Mengambil kira populasi penduduk warga emas negara ini yang semakin bertambah, kajian ini mempunyai implikasi kepada mereka, golongan dewasa yang bekerja dan generasi muda yang akan menjaga mereka.
Sebagai perspektif, 15 tahun lalu bilangan rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas adalah 1.4 juta orang dan diunjurkan meningkat kepada 3.3 juta orang menjelang 2020. Peratusan populasi penduduk negara ini yang berumur 60 tahun ke atas lima tahun lagi dijangka meningkat dua kali ganda menjadi satu daripada 10 orang, berbanding satu daripada 20 orang pada 2000.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57616#sthash.DhHpKxS8.dpuf
|