
Pada acara 2015 Tokyo Motor Show yang bakal berlangsung pada 29 Oktober hingga 8 November akan datang, Toyota akan mempamerkan satu model konsep Toyota S-FR, model kereta sports ringan. Mengikut Toyota, konsep kereta sports kompak ini sangat ringan tetapi memberikan pengalaman pemanduan yang menarik. Kereta konsep Toyota S-FR ini dikatakan boleh melawan model Mazda MX-5 jika diteruskan dengan produksi.  Toyota belum lagi mengeluarkan apa-apa spesifikasi terperinci, tetapi ianya dianggarkan akan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter petrol 4-silinder yang mampu menghemburkan 128HP dan 148Nm tork. Kereta ini dikatakan bakal menggunakan platform FR (enjin hadapan, rear-wheel drive) dan mempunyai keseimbangan berat hampir 50:50. Transmisi yang ditawarkan ialah 6-kelajuan manual dan ianya merupakan satu gerak yang luar biasa bagi model Jepun di mana ianya tidak ditawarkan dengan tranmisi automatik.  Sama seperti model MX-5, Toyota S-FR ini diberikan tumpuan kepada pengalaman pemanduan yang menarik. Berat keseluruhan kereta ini dikatakan dalam lingkugan 980kg, cukup ringan bagi prestasi enjin yang dihasilkan oleh enjin 1.5-liter tersebut. Toyota akan melihat reaksi orang ramai terhadap Toyota S-FR di Tokyo sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pengilangannya. Ianya dilihat sebagai satu model yang boleh diletak di bawah model GT86.  Tiada indikasi terhadap harga bagi kereta ini, namun jika dilihat sebagai lawan kepada model Mazda MX-5, mungkin ianya akan dijual pada anggaran harga 2,268,000 Yen (linkungan RM80,000).                            
arenakereta
|