
Mencuci pakaian anak? Nampak macam perkara remeh tapi ia penting demi memastikan kesihatan anak anda terpelihara. Kulit bayi dan kanak-kanak sangat sensitif. Menjaga kulit mereka penting untuk
mengelakkan daripada dijangkiti bakteria yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit berkaitan kulit.
Sebenarnya cara mencuci pakaian anak adalah salah satu pengetahuan yang perlu dipelajari oleh setiap ibu ayah terutama yang baru mendapat anak. Mesti ramai akan beranggapan apa yang susah sangat mencuci pakaian anak.
Campak sahaja dalam mesin basuh dan tunggu sampai ia selesai membasuh. Lepas itu keluarkan dan sidai.
Tapi perlu diingat, anda tidak boleh mencampurkan cucian pakaian anak dengan pakaian orang dewasa, terutama pakaian bayi baru lahir. Kulit bayi sangat sensitif dan tahap kekebalan badan mereka juga belum sempurna. Jika tersilap cuci, bimbang kulit bayi terkena jangkitan bakteria dan boleh menyebabkan kegatalan.
Selain dari itu pastikan juga anda tidak terlalu teruja untuk memakaikan anak dengan pakaian yang baru dibeli. Cuci terlebih dahulu pakaian tersebut bagi menghilangkan debu dan kandungan bahan kimia yang digunakan dalam proses membuat pakaian tersebut.
1. Sepanjang setahun pertama usia anak, pastikan cuci pakaian mereka berasingan dengan pakaian orang dewasa yang lain untuk mengelakkan pencemaran kotoran daripada pakaian orang dewasa.
2. Bersihkan dahulu kesan kotoran makanan bayi sebelum pakaian dicuci. Buang sebarang kotoran pejal yang ada pada pakaian, bilas bahagian tersebut di bawah air mengalir. Sekiranya masih ada lagi kesan kotoran, anda boleh rendam sekejap dalam air yang dicampur dengan sabun pencuci khas untuk bayi.
3. Gunakan sabun khas untuk bayi bagi mencuci pakaian sehingga mereka berusia enam bulan. Selepas itu anda boleh bertukar perlahan-lahan kepada sabun lembut yang biasa. Sekiranya anak menghadapi masalah jangkitan pada kulit, kembali gunakan sabun khas untuk bayi kerana dia mungkin mempunyai kulit yang sensitif.
4. Jangan gunakan pelembut pakaian semasa mencuci pakaian anak selama enam bulan pertama usianya. Selepas tempoh usia tersebut, anda boleh menggunakan pelembut pakaian yang mempunyai kandungan formula hypoallergenic.
5. Sekiranya memilih cara cucian tangan, pastikan anda membilas pakaian anak beberapa kali sehingga tiada lagi kesan sabun yang tinggal.
6. Jika menggunakan cara cucian mesin basuh, pilih butang putaran lembut pada mesin basuh semasa mencuci. Ia untuk mengelakkan pakaian anak anda mudah rosak.
7. Biasanya pakaian bayi tidak perlu disterika. Sekiranya ada jenis yang perlu disterika, elakkan penggunaan suhu terlalu tinggi yang berisiko merosakkan kelembutan pakaian bayi.
8. Kaedah pencucian pakaian anak ini bukan hanya terhad pada pakaian sahaja tetapi diguna pakai untuk semua fabrik yang bersentuhan dengan kulit bayi seperti selimut, kain bedung, sarung bantal, tuala dan sebagainya.
sumber:pama
|