http://www.yadim.com.my/v2/?p=30117
Oleh AMIN FADLILLAH Di dalam Islam, perbezaan pendapat merupakan perkara yang lumrah dan menjadi sifat tabii manusia. Tidak ada yang pelik dan ditakutkan dengan berlakunya percanggahan pandangan dalam memberi tindak balas terhadap sesuatu masalah. Malah di sebalik perbezaan pendapat itu, terungkai hikmah yang terkandung di dalamnya yang memberi manfaat dan jalan keluar terhadap persoalan yang dihadapi.
Walau bagaimanapun, terdapat jurang yang lebar antara perbezaan pendapat yang dilandasi oleh ilmu dan keahlian dalam bidang tertentu dengan perbezaan pendapat yang dicetuskan oleh individu yang tidak mempunyai latar belakang keilmuan yang dipercayai dalam memberi maklum balas dalam sesebuah isu. Apatah lagi apabila isu tersebut melibatkan institusi atau individu yang mempunyai autoriti dalam bidangnya vis-a-vis pihak yang berkepentingan yang tidak dilandasi oleh kepakaran berkaitan.
Sudah tentu, perbezaan pendapat dalam konteks ini bukan mendatangkan rahmat dan hikmah, akan tetapi menatijahkan kecelaruan pandangan yang hanya akan membingungkan masyarakat awam. Perbezaan pendapat yang mendatangkan rahmat itu yang terhasil daripada kajian yang mendalam terhadap proses penetapan satu hukum (istinbath) yang membabitkan kepakaran keilmuan dan individu yang dipercayai daripada kedua belah pihak yang seimbang. Contoh yang nyata perbezaan pendapat yang mendatangkan rahmat ialah yang terjadi di kalangan imam mazhab empat (Hanafi, Syafie, Maliki dan Hanbali).
|