Aaron-Wooi Yik mara ke final Terbuka Thailand.
Berita Harian
Sukhairi Thani
[email protected]
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final Toyota Terbuka Thailand selepas menewaskan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Kemenangan 21-18, 21-18 dalam tempoh 35 minit itu menyaksikan mereka akan bertemu pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin di pentas final esok.
Gandingan Taiwan itu mara selepas mengejutkan pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 14-21, 22-20, 21-12.
Apapun, kejayaan Aaron-Wooi Yik itu juga harus menebus kekecewaan apabila terkandas di pusingan pertama Yonex Terbuka Thailand, minggu lalu.
Berdasarkan rekod, ia adalah pentas final buat kali ketujuh selepas pencapaian terbaik mereka meraih pingat emas di temasya Sukan SEA Filipina 2019 dengan menewaskan lawan dari Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit.
Aaron-Wooi Yik juga pernah beraksi di final Seluruh England pada 2019 namun tewas di tangan gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21, 12-21. |