CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2095|Reply: 0

[KEDAH] 'Ini Sumbangan Kecil Saya' - Sukarelawan Kajian Vaksin COVID-19

[Copy link]
Post time 1-2-2021 05:41 PM | Show all posts |Read mode

Adam Loh Wei Chai, (tengah) individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.


Harian Metro

Raja Noraina Raja Rahim
[email protected]

Kuala Lumpur: "Suntikan vaksin ini adalah sumbangan kecil saya untuk membantu frontliner (barisan hadapan) memerangi Covid-19," kata Adam Loh Wei Chai, 33, individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Adam antara 22 sukarelawan terawal menyertai kajian fasa ketiga ujian klinikal vaksin yang dihasilkan oleh Institut Biologi Perubatan, Akademi Sains Perubatan Cina di China.

Peniaga dalam talian itu mendapat suntikan berkenaan pada Sabtu lalu di Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Selepas tiga hari menerima suntikan, menurut Adam, setakat ini dia tidak mengalami sebarang kesan sampingan dan hanya rasa sakit sementara pada tangan kiri selepas disuntik.

Berkongsi pengalaman, Adam berkata, semuanya bermula selepas beliau menerima kiriman WhatsApp daripada rakan mengenai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencari sukarelawan untuk kajian vaksin Covid-19 pada awal tahun ini.

"Ketika itu, saya tertarik pada satu ayat bahawa kajian vaksin cara terbaik memerangi Covid-19. Tanpa fikir panjang, saya mendaftar diri kerana rasa bertanggungjawab membantu KKM dan negara.

"Saya kemudian dipanggil mengikuti sesi penerangan oleh pihak KKM mengenai kajian, keberkesanan dan kesan sampingan vaksin," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Adam, beliau tidak menyangka akan menjadi orang pertama menerima suntikan itu selepas hadir pada awal pagi sebagai persediaan.

Mengakui gementar, beliau berkata, doktor banyak memberikan dorongan untuk menghilangkan perasaan itu.

"Terkejut juga apabila doktor beritahu saya adalah orang pertama. Dalam fikiran saya ketika itu, apa akan berlaku selepas ini dan adakah saya akan sakit atau sebagainya.

"Namun, semuanya berjalan lancar. Saya rasa bangga dapat membantu KKM dan berterima kasih kepada mereka yang sangat membantu," katanya.

Katanya, buat masa ini beliau perlu merekod suhu badan dan membuat laporan harian mengenai keadaannya sebelum diberi suntikan kedua selepas tempoh 14 hari.

Walaupun mendapat suntikan, beliau tetap mengamalkan normal baharu yang sudah sebati dengan kehidupan hariannya seperti memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

Beliau berharap masyarakat tidak gusar dan memberi kerjasama kepada usaha dilakukan KKM serta yakin bahawa vaksin adalah satu-satunya cara memerangi Covid-19.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2025 02:23 AM GMT+8 , Processed in 0.037035 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list