Pelumba Terengganu Cyling Team (TSG), Hariff Salleh menunjukkan pingat kejuaraan GP Velo Manavgat Turki yang dimenanginya. - Foto ihsan TSG.
Berita Harian
Helmi Talkah
[email protected]
KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Cyling Team (TSG), Hariff Salleh membuktikan dia bukan sekadar 'jaguh kampung' selepas menjuarai Grand Prix (GP) Velo Manavgat di Turki, semalam.
Selepas setahun tidak berlumba akibat pandemik COVID-19, Hariff, 32, berkata dia sangat berpuas hati dengan kejayaan itu apatah lagi turut menjadi pelumba pertama lebuh raya negara yang memenangi perlumbaan di Eropah.
"Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang menjaga saya sejak dari awal perlumbaan. Namun, saya juga bekerja keras bagi memenangi perlumbaan ini.
"Sebelum ini saya berjaya memenangi perlumbaan LTdL (Le Tour de Langkawi) dan kali ini saya membuktikan yang saya juga boleh menang di luar negara khususnya di Eropah," katanya.
Pada perlumbaan sejauh 149 kilometer di Turki itu, tempat kedua dimenangi pelumba Poland, Alan Banaszek manakala Andriy Kulyk dari Ukraine menduduki tangga ketiga.
Hariff, berkata persaingan dalam perlumbaan berstatus 1.2 itu tetap sengit dengan kehadiran pelumba terbaik Eropah.
"Saya bersama rakan sepasukan memang bekerja keras bagi meraih kemenangan ini," katanya.
Kejayaan Hariff hadir selang enam jam selepas jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang memenangi pingat emas acara pecut pada Kejohanan Trek Elit Victoria, semalam.
Menariknya, Aizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' dan Hariff, kedua-duanya adalah jati Terengganu dan kejayaan mereka turut mengharumkan nama negeri itu. |