View: 2337|Reply: 2
|
TAN SRI HARUSSANI - DALAM KENANGAN
[Copy link]
|
|
Nukilan daripada Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri
https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/
TAN SRI HARUSSANI YANG KUKENALI
Kami lafazkan apa yang diajar oleh Allah SWT:
إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya kita milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.
Hakikat manusia berakhir dengan kematian sebagai ujian Allah di muka bumi ini. Sebuah ketabahan dan kesabaran serta redha dengan kehendak Allah adalah pakaian yang terbaik dan cara kita beriman dengan qadha’ dan qadar. Sesungguhnya berita pemergian Tan Sri Harussani pada hari ini, 30 Mei 2021 amat menyedihkan kita semua.
Mengenangkan jasanya yang begitu banyak, menjawat jawatan sebagai mufti lebih tiga dekad menunjukkan thiqah dan kepercayaan Kerajaan kepadanya yang terkenal dengan sifat-sifat ulama’ Rabbani.
Orang sepertinya lah termasuk dalam sabda Rasulullah SAW:
يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُولُهُ يَنْفُونَ عَنْهُ تَحْرِيفَ الْغَالِينَ وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِينَ وَتَأْوِيلَ الْجَاهِلين
Maksudnya: Ilmu ini akan dibawa oleh para ulama yang adil dari tiap-tiap generasi. Mereka akan menafikan segala penyimpangan yang dilakukan oleh orang-orang yang melampau, menolak kebohongan pelaku kebathilan dan ta’wilan orang-orang jahil”.
Riwayat Ahmad (7/39), al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (20700) dan al-Tabrani dalam Musnad al-Syammin (599).
Sebenarnya ulama yang hebat ialah ulama rabbani yang kukuh ilmu mereka, indah akhlak keperibadian dan teguh hubungan dengan Allah serta manusia.
Ulama rabbani seperti mana firman Allah SWT:
وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
Maksudnya: Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala - Dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (Surah Ali-Imran: 79)
Mereka adalah ulama yang berilmu, beramal dengan ilmu dan ikhlas dalam mengamalkannya. Mereka thabat atas kebenaran dan istiqamah dengannya. Atas kebenaran mereka hidup dan atas kebenaran mereka sanggup mati. Tan Sri adalah orang yang seumpamanya, Insya Allah.
Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya Fi Wada’ al-A’lam berkata: Tidak syak lagi, bahawa wujudnya para ulama yang berkhidmat untuk Islam, menjadi guru dan pendakwah kepada ummah mereka adalah rahmat Allah SWT dan nikmat kepada umat sejagat.
Mereka menerangkan kebenaran, menolak kebatilan, menghilangkan syubhah, membenarkan kefahaman, memimpin manusia ke jalan Ilahi, menyeru ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, berkata benar sekalipun pahit, tidak takut kepada celaan orang mencela dan balasan orang zalim.
Benarlah Firman Allah SWT:
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ ۗ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ حَسِيبًا
Maksudnya: (Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintah-Nya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhluk-Nya untuk membalas mereka). (Surah al-Ahzab: 39)
Kalaulah tanpa bintang dalam kalangan ulama, nescaya kejahilan menguasai ilmu, kesesatan mengalahkan petunjuk. Ketika itu, kegelapan batil akan menuntut cahaya kebenaran dan tentera kebenaran menerima kekalahan ketika berhadapan sejumlah kejahatan.
Dengan itu, adanya ulama sebagai rahmat, berkat dan nikmat kepada ummah ini. Kematian mereka tanpa ragu lagi adalah musibah dan kehilangan mereka dari pentas dakwah adalah satu yang malang kepada ummah.
Dengan sebab itulah salafussoleh pernah berkata: Hilangnya kabilah lebih ringan bagiku daripada kematian seorang alim.
Saidina Ali RA pernah berkata: Apabila matinya seorang alim, maka dipatahkan tombak kekuatan Islam dan tidak mungkin dapat digantinya kecuali yang benar-benar layak.
Kematian ulama merupakan musibah dan bertambahnya musibah apabila kematian mereka berturut-turut dalam waktu yang hampir seperti mana yang dapat kita saksikan mutakhir ini.
Kadang-kadang hanya dalam tahun yang sama, beberapa tokoh ulama meninggal dunia hampir serentak. Ia seolah-olah rantaian biji-biji tasbih yang jatuh dan terungkai sekali gus.
Lebih merisaukan lagi dalam kita menangisi pemergian para ulama' dan kekalnya golongan jahil, terdapat segolongan telah mengambil tempat ulama, memakai pakaian-pakaian ulama dan menggunakan gelaran ulama.
Sedangkan mereka tidak bersandarkan kepada ilmu, petunjuk dan kitab yang bercahaya. Apabila mereka berfatwa tanpa disandarkan ilmu dan apabila melakukan penghakiman juga melakukan cara yang sama. Na'uzubillahi min zalik!
Saya telah mengenali Tan Sri lebih 20 tahun yang lalu dan menjadi lebih akrab ketika menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan (2014-2020). Saya kerap kali menziarahi beliau dan bertemu dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia atau beberapa acara rasmi negara.
Sempat juga saya bersembang dan mendengar buah fikirannya yang tuntas dan bernas. Setiap kali ke Perak bagi urusan rasmi, saya pasti mengambil kesempatan menziarahinya, meminta nasihat dan doa daripada "orang lama". Sungguh, ia penuh dengan barakah.
Selayaknya beliau menjawat jawatan Mufti dan diberi beberapa anugerah dek kerana sifat-sifat unggul yang terwujud padanya. Dalam tegas, ada damainya. Dalam senyum, terzahir prinsipnya. Boleh berbincang dan bertukar pandangan dengan seselesa mungkin.
Saya doakan semoga Allah kurniakan kepada almarhum bersama dengan para Nabi, Rasul, siddiqin, syuhada’ dan orang-orang soleh di syurga.
Marilah sama-sama kita melakukan solat jenazah ghaib untuk almarhum tanda kasih kita kepada ulama’ dan sekali lagi kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum.
اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهُ ، وَارْحَمْـهُ ، وَعَافِهِ ، وَاعْفُ عَنْـهُ ، وَأَكْـرِمْ نُزُلَـهُ ، وَوَسِّـعْ مُدْخَـلَهُ ، وَاغْسِلْـهُ بِالْمَـاءِ وَالثَّـلْجِ وَالْبَـرَدِ ، وَنَقِّـهِ مِنَ الْخَطَـايَا كَمَا نَـقَّيْتَ الـثَّوْبَ الأَبْيَـضَ مِنَ الدَّنَـسِ،وَأَبْـدِلْهُ دَارًا خَـيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلًا خَـيْرًا مِنْ أَهْلِـهِ ، وَزَوْجًا خَـيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِـلْهُ الْجَـنَّةَ ، وَأَعِـذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَـبْرِ وَعَذَابِ النَّـارِ
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
5.40 petang
30 Mei 2021 / 18 Syawal 1442H
|
|
|
|
|
|
|
|
Moga rohnya ditempatkan dalam kalangan org beriman dan beramal soleh |
|
|
|
|
|
|
|
arwah adalah antara insan yg diberi Allah kemuliaan ilmu
seorang yg soleh lagi bertaqwa
semoga Allah mengangkat derajatnya dgn kemuliaan disisiNya...
shololhu alan nabiy saw... |
|
|
|
|
|
|
| |
|