View: 1247|Reply: 0
|
Usah sebar video sekerat
[Copy link]
|
|
Usah sebar 'rakaman sekerat'
Gambar hiasan
Semua orang boleh menuturkan kata-kata seperti mana yang diinginkan. Lidah adalah antara nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Namun Islam menyuruh setiap umatnya menuturkan kata-kata yang baik. Meskipun manusia berupaya menuturkan kata-katanya sendiri, Islam melarang umatnya menyebut kata-kata buruk, dusta, kejian, makian dan seumpamanya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Seseorang Muslim tidak boleh sesuka hati bercakap apa sahaja yang diingininya. Setiap perkataan yang keluar daripada mulutnya mempunyai nilaian di sisi Allah SWT. Ada orang boleh mendapat pahala daripada kata-kata yang keluar daripada mulutnya. Begitu juga terdapat dalam kalangan manusia yang mendapat dosa kerana menuturkan kata-kata yang dilarang oleh Allah SWT.
Justeru, setiap orang perlu memastikan bahawa dirinya hanya mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan pahala. Bagi memastikan tutur kata sentiasa termasuk dalam ruang lingkup kebaikan, ia perlu dituturkan mengikut konteks yang betul. Orang yang ingin bercakap perlu memastikan dirinya memilih perkataan yang sesuai dengan konteks atau situasi di sekelilingnya termasuk kelompok yang menjadi pendengar.
Kamus Dewan mendefinisikan perkataan 'konteks' sebagai keseluruhan keadaan atau latar belakang tertentu yang ada kaitannya atau dapat dihubungkan dengan sesuatu. Apabila menyentuh soal pertuturan, maka perkara seperti budaya setempat, pihak yang mendengar, situasi atau isu semasa termasuk dalam ruang lingkup konteks yang perlu diambil kira dalam pemilihan perkataan ketika bertutur.
Konteks yang berbeza akan melahirkan makna yang berbeza bagi sesuatu ungkapan. Apabila pertuturan diungkapkan pada konteks yang salah, ia boleh menimbulkan konflik dalam komunikasi sesama manusia. Justeru, setiap orang perlu memanfaatkan akal fikirannya yang dikurniakan oleh Allah SWT serta panduan wahyu Ilahi untuk memastikan kata-katanya diungkapkan mengikut konteks yang betul.
Sesuatu perkataan yang diletakkan dalam ayat boleh membawa variasi makna apabila diungkapkan pada konteks yang berbeza. Sebenarnya bukan sahaja si penutur yang perlu mengungkapkan pertuturannya mengikut konteks yang sesuai, malah pendengar juga perlu memahami sesuatu ungkapan mengikut konteks yang betul.
Dengan kata lain, penutur dan juga pendengar masing-masing perlu memahami ungkapan dengan betul agar dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam konflik komunikasi.
Ketika Nabi Musa bertemu dengan Allah SWT, baginda ditanya oleh Allah dengan soalan sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran: "Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?" (Surah Taha, ayat 17). Mungkin timbul persoalan, mengapa Allah SWT yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui mengajukan soalan sedemikian kepada Nabi Musa?
Persoalan Allah SWT dijawab sepertimana dinyatakan dalam al-Quran: "Nabi Musa menjawab: Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu." (Surah Taha, ayat 18). Jawapan yang cukup terperinci diberikan oleh Nabi Musa sedangkan jika diperhatikan secara sepintas lalu, persoalan yang ditanyakan oleh Allah SWT tidaklah merujuk kepada perkara yang besar.
Menurut Dr Bakri Shaykh Amin dalam sebuah kitabnya yang membahaskan ilmu balaghah, Allah SWT dan Nabi Musa telah menunjukkan contoh percakapan yang bersesuaian dengan konteksnya. Allah SWT ingin menenangkan hati Nabi Musa lalu ditanyakan kepada baginda satu persoalan yang ringkas dan tidak membebaninya untuk memberi jawapan.
Manakala jawapan Nabi Musa yang cukup panjang menunjukkan baginda mengambil peluang sepenuhnya saat berbicara dengan Allah SWT. Tidak semua hamba-Nya berpeluang berbicara dengan Allah SWT. Maka saat diajukan soalan oleh Allah SWT, baginda berbicara dengan-Nya menerusi jawapan yang cukup terperinci. Sedangkan baginda pasti tahu bahawa Allah SWT Maha Mengetahui segalanya.
Inilah antara contoh komunikasi yang diungkapkan mengikut konteksnya. Ungkapan percakapan menjadi lebih bermakna kerana ia diucapkan mengikut konteksnya. Orang yang berada di luar konteks mungkin tidak akan dapat merasai kelancaran serta keindahan sesuatu ungkapan. Apatah lagi jika sesuatu ungkapan difahami mengikut konteks yang salah, maka ia pasti akan menimbulkan pelbagai masalah.
Peringkat umur orang yang mendengar ungkapan juga termasuk dalam ruang lingkup konteks pertuturan. Bahasa yang digunakan untuk golongan kanak-kanak pastinya berbeza dengan ungkapan untuk golongan dewasa. Malah ungkapan untuk pelajar di universiti semestinya kurang sesuai diucapkan kepada orang awam yang tinggal di kampung. Kesemua ini perlu diberi perhatian oleh orang yang ingin menyampaikan sebarang ungkapan.
Begitu juga apabila berkomunikasi dengan orang yang menggunakan bahasa yang lain daripada bahasa yang kita gunakan. Ini termasuk bahasa dialek yang bersifat pelbagai di negara kita. Budaya setempat perlu diberi perhatian sewajarnya oleh orang yang ingin menuturkan kata-kata. Boleh jadi perkataan yang biasa digunakan di tempat sendiri membawa makna yang amat berbeza di tempat lain.
Tidak mustahil boleh berlaku konflik dalam komunikasi sekiranya sesuatu perkataan digunakan pada bukan tempatnya yang sesuai. Semua ini memerlukan setiap orang meraikan kepelbagaian bahasa dalam komunikasi sesama manusia. Sesungguhnya kepelbagaian bahasa termasuk dialek setempat membuktikan keagungan Allah SWT yang berkuasa mencipta manusia dengan kepelbagaian variasi.
Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan." (Surah ar-Rum, ayat 22)
Menginsafi keperluan menutur dan memahami sesuatu ungkapan mengikut konteks yang sebenar, maka perbuatan sesetengah pihak yang gemar menyebarkan potongan rakaman ucapan perlu diberi perhatian. Sesuatu sebaran boleh mendatangkan pahala dan juga sebaliknya.
Perbuatan mendengar potongan rakaman ucapan yang difahami tanpa merujuk konteks sebenar boleh mencetuskan perbalahan. Dalam keadaan teknologi komunikasi yang serba canggih hari ini, kita terdedah dengan pelbagai konflik dalam komunikasi. Keadaan ini mewajibkan setiap orang sama ada yang ingin bercakap dan juga yang ingin mendengar untuk berusaha mengelakkan diri daripada terlibat dalam isu yang boleh mencetuskan pertikaman lidah.
Marilah sama-sama kita menjaga lisan daripada terjebak dalam dosa dan maksiat. Banyak persengketaan berlaku dalam kalangan manusia disebabkan lidah yang tidak dijaga dengan betul. Fokuslah kepada kata-kata yang baik kerana ia boleh mengundang keredaan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya seorang hamba yang mengucapkan perkataan yang mengundang keredaan Allah, meskipun dia tidak menyangka ucapannya itu begitu tinggi nilainya, maka Allah akan menulis keredaan baginya sehingga hari kiamat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|