View: 1420|Reply: 2
|
Rebut kelebihan 10 hari pertama Zulhijah
[Copy link]
|
|
Rebut kelebihan 10 hari pertama Zulhijah
UMAT Islam memakai ihram putih ketika wukuf di Padang Arafah sebagai simbolik persamaan sesama manusia. FOTO AFP
Sepanjang Zulhijah yang bakal bermula Ahad depan, ada satu hari dikatakan antara hari paling afdal di sisi Allah selain Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah, juga lebih dikenali sebagai Hari Arafah. Hari Arafah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah iaitu satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan haji di Tanah Suci.
Kemuncak daripada itu, Hari Arafah adalah satu hari yang Allah akan membebaskan sesiapa menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari berkenaan daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya iaitu Aidiladha (10 Zulhijah) adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Allah. Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji di Tanah Suci, malah kelebihan itu juga turut dapat dinikmati oleh umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji dari seluruh pelosok dunia.
Umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijah terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi ibadat puasa amalan ibadat yang afdal di sisi Allah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: "Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan selepasnya." Hadis Riwayat Muslim
Selain ibadat puasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan amar makruf nahi munkar. Perlu diinsafi setiap amalan yang dilakukan pada hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah.
Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah seperti berjihad pada jalan Allah tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa 10 hari pertama Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim tercedera atau mati syahid atau kudanya terbunuh dalam medan peperangan.
Jelas daripada maksud hadis Rasulullah bahawa Hari Arafah dan juga hari sebelumnya pada permulaan Zulhijah adalah antara hari yang afdal untuk beribadat kepada Allah dengan melakukan segala amalan sunat dianjurkan pada hari berkenaan di samping setiap detik berlalu pada hari itu adalah waktu yang amat mustajab doanya dan juga hari digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah.
Ibnu Abbas pernah menceritakan Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari itu iaitu 10 hari pertama Zulhijah. Sahabat bertanya: Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah? Jawab Rasulullah: Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun." Hadis Riwayat Bukhari
Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah juga bersabda maksudnya: "Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada 10 hari pertama Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu perbanyakkan zikir tahlil, takbir dan tahmid." Hadis Riwayat Ahmad
Pada Hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelosok dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah perhimpunan besar manusia dari seluruh dunia ke satu padang di bawah terikan mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.
Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak. Oleh itu, setiap insan sewajibnya menghisab diri dan bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar kelak.
Daripada sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan perkataan Arafah itu berasal daripada pertemuan kembali Nabi Adam AS dan isterinya, Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan. Akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang sebagai Padang Arafah. Ada juga ulama yang menyatakan ia berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim AS dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail AS yang lama berpisah.
Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim apabila memahami dan menghayati perintah Allah yang tersirat dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, ketika wukuf di Arafah juga dikenali sebagai Hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Ini kerana Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya baginda faham (Arafa) maksud mimpi serta terus melaksanakan maksud mimpinya itu.
Selanjutnya, perhimpunan besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh serta bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini. Ia juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang dirintis generasi Rasulullah SAW, sahabat dan generasi selepasnya.
Tambahan pula, jalinan terbina atas paksi takwa ini dengan pakaian ihram yang sama putih tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan serta perbezaan.
Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukannya yang lebih keturunan atau bangsanya)."
Perhimpunan ini juga diharapkan akan menginsafkan setiap insan yang menghuni bumi Allah ini bahawa perpaduan yang sebenarnya adalah yang bertunjangkan takwa dan iman. Ia memantapkan hubungan antara sesama manusia, sekali gus dapat mengikis perasaan prasangka, dendam kesumat, dengki dan penyakit hati lain yang membinasakan ummah. Ini kerana setiap Muslim menginsafi bahawa takwalah neraca piawaian sebenar di sisi Allah, bukannya kekayaan, kedudukan, warna kulit dan sebagainya yang menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan seseorang. Dari situ, masing-masing dapat memainkan peranan yang sewajarnya dalam mengekalkan tali persaudaraan yang terpintal dan bertindak saling mengukuhkan untuk memartabatkan kembali maruah umat Islam di persada dunia.
Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada 10 hari dalam Zulhijah yang sewajarnya direbut oleh setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya serta kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.
Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
|
tq tt info yang menarik..semoga ada rezeki berpuasa sunat kali ni
|
|
|
|
|
|
|
| |
|