Kerajaan masih dapat sokongan majoriti Ahli Parlimen - TPM
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, justeru rakyat diminta bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama berdoa supaya kemelut politik ini berakhir dengan segera.
Menerusi kenyataan media hari ini menggunakan jawatan Ketua Whip kerajaan, Ismail Sabri berkata, situasi politik pada hari ini dalam keadaan tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.
"Saya menjunjung akan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam kenyataan media dikeluarkan Istana Negara hari ini," katanya.
Terdahulu, dalam kenyataan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan sudah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.