Tokyo: Pelari pecut Nigeria, Blessing Okagbare disingkirkan dari Olimpik Tokyo selepas gagal ujian bahan terlarang, iaitu kes pertama doping dalam acara balapan dan padang di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Unit Integriti Olahraga (AIU) berkata dalam satu kenyataan, Blessing yang memenangi perlumbaan saringan 100 meter (m) wanita semalam, diuji positif mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan hormon. AIU berkata ujian di luar kejohanan itu dilakukan pada 19 Julai dan keputusan Blessing diketahui awal pagi tadi. Bekas juara Sukan Komanwel berusia 32 tahun itu memenangi saringan semalam dengan catatan 11.05 saat (s). Penggantungan Blessing itu adalah insiden terbaru bagi pasukan Olahraga Nigeria di temasya kali ini. Khamis lalu, AIU berkata 10 atlet Nigeria adalah di antara 18 peserta yang dihalang untuk menyertai saingan di Tokyo selepas gagal memenuhi syarat melakukan ujian sebelum pertandingan. sumber : HMetro
|