Kuala Lumpur: Atlet menembak negara, Nur Suryani Taibi menamatkan saingan 50 meter (m) rifle tiga posisi di kedudukan ke-34 dari 37 peserta yang bertanding. Hasrat untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya juga iaitu 1,172 tidak kesampaian apabila sekadar meraih 1,142 mata. Kedudukan itu sekali gus menyaksikan atlet berusia 38 tahun itu gagal melayakkan diri ke pusingan akhir yang mana hanya lapan peserta terbaik akan mara. Pada acara yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Asaka, pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon, Korea Selatan dalam acara 50m prone itu mengumpul keseluruhan 1,142 mata dari tiga acara kneeling (379 mata), prone (395), berdiri (368). Acara kelayakan itu dikuasai oleh Yulia Zykova dari Majlis Olimpik Rusia (ROC) dengan 1,182 mata, manakala atlet Amerika Syarikat, Sagen Maddalena dan Jolyn Beer dari Jerman masing-masing meraih 1,178 mata. Untuk rekod ia adalah penampilan kedua Suryani di temasya Olimpik selepas kali pertama beraksi di Olimpik London 2012 dalam acara 10m air rifle di kedudukan ke-34 dari 55 penembak. Pada Olimpik Beijing 2008, Malaysia diwakili Hasli Izwan Amir dan Johnathan Wong pula layak di Olimpik Rio 2016, di mana kedua-duanya beraksi dalam acara pistol. sumber : HMetro
|