Ditahan mengamuk mahu keluar dari kawasan PKPD
KUCHING: Seorang lelaki diberkas selepas mengamuk apabila tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Telaga Air, dekat sini pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Syhong berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, suspek berusia 30 tahun dipercayai marah dan mengamuk kerana tidak berpuas hati apabila tidak dapat keluar dari kawasan PKPD yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan.
"Suspek telah diserahkan oleh anggota keselamatan yang bertugas di PKPD Kampung Telaga Air kepada anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, semasa kejadian seperti mana dalam video yang tular, anggota polis bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang sedang bertugas di PKPD Kampung Telaga Air telah memujuk suspek dan meminta suspek supaya balik ke rumah tetapi suspek enggan berbuat demikian.
"Suspek bertindak mengacukan kayu panjang ke arah anggota keselamatan dan berlaku pergelutan antara anggota keselamatan dan suspek.
"Suspek berjaya ditangkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan semasa tangkapan dibuat sebelum diserahkan kepada MPV untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Katanya lagi, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan selanjutnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang berada di kawasan PKPD dinasihati agar sentiasa mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan bersabar sementara tamat sesuatu PKPD.
Kata beliau, ia adalah demi komuniti setempat khususnya dan kesejahteraan semua.
utusanborneo.com.my/2021/08/02
|