17 lokaliti di Sarawak diarah jalani PKPD
KUCHING: 17 lagi lokaliti di Sarawak diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata daripada jumlah itu, 10 lokaliti di Serian, empat di Kuching dan masing-masing satu di Sri Aman, Asajaya dan Simunjan.
“Di Serian ia melibatkan Kampung Paon Rimu Bakong, Kampung Paon Rimu, Kampung Duuh, Kampung Krangan Tekalong, Kuater Salcra Melikin, Kampung Krangan Baru, Kampung Junggu Mawang, Kampung Linsat Batu Kudi, Kampung Krangan Trusan dan Kampung Sungai Menyan Cina.
“Kesemua PKPD lokaliti ini berkuat kuasa dari 4 hingga 17 Ogos 2021,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, di Kuching empat lokaliti diarah menjalani PKPD adalah Kampung Haji Baki, Kampung Braang Temurang, Kampung Braang Bridak dan Kampung Quop yang juga semuanya berkuat kuasa 4 hingga 17 Ogos.
Di Sri Aman PKPD melibatkan Rumah Lihal Gemong di Kampung Jaung, Pantu yang berkuat kuasa 3 hingga 16 Ogos 2021.
“Manakala PKPD di Asajaya melibatkan Kampung Semera Hilir, Sadong Jaya dan di Simunjan melibatkan Kampung Jirok, yang mana PKPD masing-masing berkuat kuasa dari 4 hingga 17 Ogos 2021,” katanya.
Jawatankuasa turut memaklumkan satu lagi lokaliti iaitu Kampung Bintawa Hilir di Kuching dilanjutkan PKPD dari 4 hingga 17 Ogos.
Semantara itu empat lokaliti ditamatkan PKPD pada 3 Ogos antaranya, Rh Kambieng Abu Bengang, Krian di Saratok; Rh Noel Praja Kabo (Saratok); Rh Bundan Engkabang (Kabong) dan Kampung Sungai Tapang (Kuching).
Mengenai laporan notis kompaun, polis Sarawak telah mengeluarkan 32 notis kompaun dengan 26 di Kuching, Bintulu (5) dan Miri (1) kerana gagal mematuhi SOP. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan polis Sarawak sehingga kini sebanyak 9,663.
Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak pula satu notis kompaun di bawah seliaan Majlis Daerah Sarikei atas kesalahan melanggar SOP.
Dengan ini sebanyak 1,375 notis kompaun dikeluarkan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, setakat ini.
utusanborneo.com.my/2021/08/03/17
|