COVID-19: Tiga kluster baharu di Sarawak
KUCHING: Tiga lagi kluster baharu COVID-19 diisytihar di Sarawak melibatkan satu kluster komuniti di Betong dan dua kluster tempat kerja di Samarahan dan Mukah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata tiga kluster tersebut ialah Kluster Bandar Riyal, Samarahan, Kluster Kampung Bungey 2, Betong dan Kluster Lubuk Bukut, Mukah.
Kluster Bandar Riyal katanya merupakan kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan pekerja dan pengunjung di pusat perniagaan Bandar Riyal, Jalan Datuk Muhammad Musa di Kota Samarahan.
Seramai 469 individu disaring dimana 47 individu didapati positif termasuk kes indeks dan 422 individu negatif.
“Kluster Kampung Bungey 2 merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan penduduk di Kampung Hilir Bungey, Debak di Betong.
Seramai 86 individu disaring di bawah kluster ini dimana 28 individu didapati positif termasuk kes indeks, lima individu negatif dan 53 individu masih menunggu keputusan ujian.
“Manakala Kluster Lubuk Bukut dikesan melibatkan pekerja dan ahli keluarga pekerja yang mendiami rumah pekerja sebuah tapak perlombongan arang batu di Lubok Bukut, Mukah.
“Hasil saringan ke atas 346 individu, 40 individu didapati positif termasuk kes indeks, 299 individu negatif dan 25 individu masih menunggu keputusan ujian,” katanya.
JPBNS turut memaklumkan penamatan Kluster Sungai Entajum di Tatau dan Kluster Pagar Serian selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas melibatkan dua kluster ini.
Sebanyak 96 kluster masih aktif di Sarawak dengan 18 kluster merekodkan penambahan 215 kes baharu.
Dalam pada itu, daerah Betong dan Tebedu telah bertukar ke status merah daripada jingga setelah masing-masing merekodkan 52 dan 46 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.
Empat daerah iaitu Meradong, Kapit, Kanowit dan Beluru kekal berstatus jingga, 11 daerah berstatus kuning dan lima daerah iaitu Bukit Mabong, Lubok Antu, Matu, Marudi dan Limbang kekal berstatus hijau.
Utusanborneo/2021/08/12
|