Jangan bawa anak, individu belum terima vaksin ke tempat awam
KUCHING: Jangan membawa anak atau golongan yang belum menerima imunisasi Covid-19 ke tempat awam yang terdapat ramai orang, sesak dan sempit, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.
Tegasnya, sekiranya perlu berbuat demikian, pastikan sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Kekal duduk di rumah, jangan mengunjungi ahli keluarga, jiran atau rakan jika tiada urusan penting.
“Elak daripada berkumpul, jangan biarkan kegembiraan semasa perayaan atau sambutan diakhiri dengan kedukaan dan kehilangan mereka yang kita sayangi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau turut mengingatkan individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau mengalami kelesuan, sakit badan, cirit-birit dan muntah tanpa punca yang dapat dikenal pasti, hendaklah segera mendapatkan saringan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat walaupun gejala adalah ringan.
“Sekiranya diarahkan kuarantin di rumah, jangan meninggalkan rumah atau berhubung rapat dengan ahli keluarga atau rakan lain yang tinggal serumah.
“Jika gejala bertambah teruk, merasa tidak sihat, sakit kepala atau sakit dada, segera hubungi 999 atau hospital terdekat untuk bantuan,” ujarnya.
Suarasarawak
|