|
KUALA LUMPUR: Saya tidak sabar agar Lembah Klang menjadi seperti Sarawak.
Demikian kata doktor pakar perubatan di sebuah hospital di Lembah Klang, Dr Hana Hadzrami.
“Di sana pesakit Covid-19 kritikal di ICU hanya tiga orang. Sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka. Kita berusaha dan bertawakal.
“Insya-ALLAH vaksin itu berkesan,” tegasnya.
Beliau berkata, kemasukan pesakit Covid-19 warga emas di negara ini telah mulai menurun tettutama di Lembah Kelang.
Menurutnya, pada minggu lalu jumlah kemasukan pesakit warganegara juga mulai menurun dan majoriti yang hadir ke hospital adalah warga asing.
“Sebenarnya dari minggu lepas saya simpan khabar gembira ini. Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap.
“Samar-samar tapi penuh harapan,” katanya menerusi perkongsian tulisan di Facebook.
Dr Hana berkata, rujukan daripada Jabatan Kecemasan (ED) kepada pasukan unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 kritikal juga dilihat semakin berkurang.
“Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU, dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang sudah nampak sedikit ruang.
“Kalau dulu, mayat berbungkus berselang seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED. Sekarang sudah nampak lantai,” jelasnya.
Katanya, jumlah pesakit kategori ringan masih ramai tetapi mereka hanya memerlukan pemantauan dan rawatan di wad sahaja.
“Masih ada rujukan pesakit Covid-19 kritikal ke ICU dari kalangan warganegara, namun terdiri dari mereka yang tolak vaksinasi. Apa nak buat.
“Ada juga pesakit Covid-19 kritikal dari kalangan yang divaksinkan, namun mereka sembuh sangat cepat berbanding yang tak divaksinkan langsung,” katanya.
Menurutnya, empat pesakit mereka yang telah divaksin hanya memerlukan bantuan pernafasan tiga hingga empat hari berbanding dua hingga tiga minggu pesakit yang tidak sempat menerima vaksin.
“Mereka pulih dengan X-ray dada yang bersih. Berbanding dengan majoriti yang rabak paru-parunya. Belum masuk yang sudah meninggal.
“Jumlah pesakit di ICU kami masih ramai. Hasil sebulan lepas punya kemasukan,” katanya sambil menambah negara ini masih lagi belum menang melawan Covid-19.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|