Palsukan kematian dua anak demi tuntut PERKESO, lima sekeluarga didakwa
Empat daripada tertuduh dibawa keluar dari lokap mahkamah setelah didakwa, hari ini.
SIBU: Lima sekeluarga dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dua pertuduhan membuat laporan polis palsu.
Enju Jimbau, 67, Suria Anchum, 50, Munan Enju, 31, Richard Enju, 27, dan Elvishera Helda, 27, masing-masing didakwa di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar dan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli.
Terdahulu, Enju didakwa membuat laporan polis palsu di Balai Polis Sentral Sibu pada 6 Julai 2015 mengenai kematian anaknya Richard.
Enju yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan ini, dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau penjara sebulan.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, Enju turut didakwa bersubahat dengan Suria dan Richard menipu PERKESO bagi mendapatkan tuntutan RM27,028.95 bagi kematian Richard.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat PERKESO Sibu pada 5 April 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Elvishera dalam pada itu dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu di Balai Polis Sentral Sibu berhubung kematian Munan Enju pada 11 Januari 2016.
Dia turut didakwa bersama suaminya, Munan menipu PERKESO dengan membuat tuntutan palsu bagi kematian Munan pada 19 November 2020, di Pejabat PERKESO Sibu.
Bagi pertuduhan ini, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Richard, Enju dan Suria juga didakwa bersubahat dalam menipu PERKESO membabitkan tuntutan palsu kematian Munan pada 18 September 2018 di Pejabat PERKESO Sibu.
Mereka didakwa menikut Seksyen 420 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan. Tuntutan palsu itu bagi mendorong PERKESO membayar sejumlah RM29,662.58 atas kematian Munan. Konspirasi kesemua mereka terbongkar apabila Richard yang dilaporkan mati pada 6 Julai 2015 oleh ayahnya (Enju), cuba mengganti kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sibu pada 18 November 2020.
JPN seterusnya membuat laporan polis terhadap Enju dan siasatan yang dibuat mendapati PERKESO telah dipedaya oleh Enju dan Suria membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM27,028.95.
Tuntutan bagi kematian Richard itu telah dibayar ke dalam akaun milik Enju dan Suria secara berperingkat.
Siasatan bersama JPN pada 19 November 2020 juga mendapati Richard ada membuat caruman dengan PERKESO pada tahun 2017 semasa bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan.
Mahkamah menetapkan 22 September depan bagi sebutan lanjut kes setelah kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
utusanborneo.com.my/2021/08/17
|