Edited by Vellfire at 18-8-2021 01:31 PM
Kes varian Delta naik mendadak di Sarawak
KUCHING: Sarawak mencatatkan peningkatan yang mendadak dalam kes jangkitan Covid-19 melibatkan kes varian Delta, dedah Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas Profesor Dr David Perera
Menurut beliau, kadar pengesanan keseluruhan melebihi 73 peratus telah direkodkan yang merupakan “peningkatan mendadak” daripada 50 peratus yang dilaporkan pada 3 Ogos lalu.
Dalam laporannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah hari ini, beliau mendedahkan untuk daerah Kuching sahaja, kadar pengesanan varian Delta adalah sekitar 90 peratus.
“Varian ini juga terus dikesan di Bau, Lundu, Kota Samarahan, Simunjan, Miri dan Bintulu.
“Selain itu, kami telah mengesan enam varian Delta di Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa Unimas juga akan membantu JPBN untuk mengesan penularan varian SARS-COV-2 di negeri ini.
“Sebagai sebahagian daripada pengawasan yang kami lakukan ketika ini, kami ingin melaporkan setakat 10 Ogos lalu, terdapat penambahan 249 kes Varian yang Membimbangkan (VOC) dan Varian yang Berkepentingan (VOI) dikesan daripada 338 kes positif Covid-19 yang dirujuk.
“248 daripada kes-kes VOC atau VOI ini adalah varian Delta (B.1.617.2) dan baru-baru ini terdapat satu kes dikenali VOI Indonesian (B.1.466 2) dikesan di Bintulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr David menjelaskan setakat 10 Ogos lalu, jumlah kumulatif VOC atau VOI yang telah dikesan di Sarawak dari kes-kes positif Covid-19 ialah 592 kes.
Sarawakvoice/2021/08/18
|