Edited by Vellfire at 19-8-2021 01:30 AM
Waspada penipuan penjualan lot kediaman di Santubong, Kuching
JANGAN TERPEDAYA DENGAN TAWARAN PENGAGIHAN, TEMPAHAN ATAU PENJUALAN LOT TANAH UNTUK KEGUNAAN KEDIAMAN YANG DIDAKWA TELAH DILULUSKAN KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sekali lagi ingin memberi peringatan kepada orang ramai di negeri ini secara amnya dan masyarakat di kawasan Santubong dan Kuching secara khususnya agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan kegiatan segelintir individu atau syarikat yang menawarkan pengagihan atau penjualan tanah untuk lot kediaman di kawasan tertentu. Modus operandi mereka melibatkan penawaran lot kediaman serta kerja pembersihan lot dengan kos yang ditetapkan. Mereka juga menggunakan platform media sosial di dalam modus operandi tersebut. Segelintir masyarakat mudah terpengaruh dan bersetuju dengan tawaran berkenaan. Namun apa yang seringkali berlaku melalui modus operandi ini ialah tanah yang ditawarkan merupakan tanah Kerajaan. Orang ramai diperdaya dengan dakwaan mereka bahawa tanah tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan untuk tujuan kediaman.
Kerajaan khususnya melalui Jabatan Tanah dan Survei tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tuntutan atau kerugian yang dialami oleh mangsa modus operandi ini. Oleh yang demikian, orang ramai adalah diingatkan untuk tidak terus terpengaruh atau mempercayai apa-apa tawaran penjualan lot kediaman yang meragukan. Malah orang ramai adalah dinasihatkan untuk terus merujuk kepada Jabatan Tanah dan Survei sekiranya mereka ingin membuat semakan atau pengesahan maklumat berkaitan.
Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah membuat laporan polis untuk menyiasat kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini.
Untuk makluman, Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei melaksanakan pembangunan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi tujuan penyediaan lot-lot kediaman di seluruh negeri ini secara terancang. Pengagihan lot-lot kediaman bagi SPS dan SPK ini dibuat oleh jawatankuasa pemilihan yang dilantik yang antara lainnya dianggotai oleh pihak
Jabatan Tanah dan Survei, Pejabat Residen, Pejabat Daerah serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum sebagai sumber rujukan jawatankuasa pemilihan. Pemilihan peserta bagi tujuan pengagihan lot-lot kediaman di SPS dan SPK dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan. Kerajaan melalui JTS tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan pemilihan peserta bagi tujuan pengagihan lot-lot kediaman di SPS dan SPK.
Individu atau syarikat yang terlibat dengan kegiatan ini adalah digesa untuk berhenti dengan serta merta dari terus memperdaya orang ramai dengan tawaran pengagihan dan pembersihan lot kediaman seumpama ini. Kegiatan ini adalah salah disisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil menurut lunas-lunas perundangan. Orang ramai juga sekali lagi diperingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak terus terpedaya dengan tawaran seumpama ini walaupun tawaran tersebut dilihat ‘sangat menarik’.
sarawakvoice.com/2021/08/19
|