|
JULAU, 31 Ogos: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai selepas pergi ke kebun di Sungai Nanga Ensulai, Batu 4, Jalan Lasi menggunakan perahu sekitar jam 4.15 petang semalam.
Mangsa dikenali Sulau Bilong berusia 78 tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata laporan mengenai kehilangan mangsa hanya dibuat sekitar jam 11 malam.
Menurut anak mangsa, penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa namun gagal dan hanya menemui perahu mangsa.
Kata anak mangsa lagi, penduduk kampung turut menjumpai serpihan dahan kayu reput dalam perahu mangsa.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hanya dimulakan pagi ini.
|
|