|
KUCHING: Lebih 300 katil disediakan untuk Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 Dewan Hikmah.
Eksekutif Pembangunan Hikmah Mohd Hamka Basri berkata, persiapan menggunakan Dewan Hikmah sebagai pusat PKRC bermula minggu lepas.
Beliau berkata, PKRC Hikmah merupakan tempat pemantauan perubatan tersedia untuk yang positif Covid-19 dalam kategori 1, 2 dan 3 dengan ko-morbit atau persekitaran rumahnya tidak sesuai untuk pengasingan diri.
"Pihak pengurusan Hikmah memberi sokongan dari segi pemantauan dan membantu dari segi apa yang patut," katanya.
Beliau berkata, penyediaan tempat adalah usaha membantu kerajaan ketika berlakunya penularan pandemik.
Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, sebanyak 520 katil disediakan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 di SMK Tabuan Jaya dan Dewan Hikmah.
Sehubungan itu beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat tidak kira agensi sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Sarawak.
“Mereka tetap melaksanakan dengan baik dan menyediakan 520 katil di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
“Ia sama seperti persekitaran hospital awam, cuma kami minta maaf kerana tidak mempunyai bilik kemudahan bilik mandi, tandas sendiri dan bilik persendirian.
“Walaupun PKRC dikendalikan oleh SGH (bukan PKB Kuching) di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak juga banyak membantu dari segi kewangan kerana rakyat Sarawak yang memerlukan kemudahan ini,” katanya.
|
|