Butterworth: Kakitangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara di Dewan Besar Sungai Dua, di sini, menaikkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku sebelum memulakan tugas mereka, hari ini.
Ia sebagai tanda melahirkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 yang disambut dalam keadaan norma baharu.
Lebih menarik, beberapa petugas didapati memakai pelindung muka ala-ala tanjak dan menulis pelbagai slogan kemerdekaan pada pakaian perlindungan diri (PPE) bagi menghidupkan suasana.
Penyelia CAC berkenaan, Dr S Navindra Kumar berkata, pihaknya mengadakan sambutan ringkas meraikan Hari Kemerdekaan negara sebelum memulakan tugas melakukan saringan ke atas pesakit Covid-19.
"Kami menaikkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu Negaraku dan melaungkan Merdeka beberapa kali bagi memberi semangat antara satu sama lain untuk bekerja dalam satu pasukan memerangi wabak ini.
"Walaupun kita belum lagi menang dalam perjuangan ini, tetapi kita perlu menang dan semangat juang yang tinggi amat diperlukan bagi membebaskan negara daripada Covid-19," katanya.
Beliau berkata, lagu patriotik turut dipasang di CAC itu bagi menyemarakkan semangat petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus sejak pandemik menular tahun lalu.
Katanya, terdapat 55 petugas bekerja di sebelah pagi manakala di sebelah petang pula terdapat 40 petugas bagi melakukan ujian saringan Covid-19.