|
HEO YI-JAE
Gangguan seksual punca kehilangan Heo Yi-jae
PELAKON Heo Yi-jae yang secara tiba-tiba menghilang daripada radar industri hiburan sejak beberapa tahun lalu, kini tampil membuat mendedahkan tentang apa sebenarnya yang berlaku selama ini.
Dia yang muncul dalam sebuah video saluran YouTube milik bekas anggota kumpulan Crayon Pop, Way membuat pendedahan mengejutkan dengan mendakwa, semuanya berlaku disebabkan gangguan seksual seorang aktor terkenal ketika di set penggambaran.
“Dia kata, hubungilah dia semasa hari cuti. Tetapi ketika itu saya sangat naif dan tak faham maksudnya, lalu menjawab, kita sudah berjumpa dan bekerja selama 20 jam sehari, jadi memang tidak perlu saling berhubungan.
“Tetapi kelakuannya berubah dan mula memarahi saya sambil mencarut. Pernah juga dia menjayakan satu babak tanpa melibatkan saya, tetapi dia gagal melakukannya dan menyalahkan saya,” katanya.
Disebabkan itu, Yi-jae cuba berbincang dengan aktor terbabit di dalam sebuah bilik, namun jawapan yang diberikannya sangat mengejutkan.
“Dia kata, orang tidak nampak kami macam bercinta dalam drama. Jadi saya minta maaf dan kata akan perbaiki lakonan. Kemudian dia tanya, tahu tak apa yang perlu kami lakukan untuk itu? Saya jawab tak.
“Dia kata, kami perlu tidur bersama. Tapi saya tidak mahu melakukannya. Dia naik marah dan mula membaling barang di hadapannya selain mencarut kepada saya,” dedah Yi-jae tanpa menyebut nama aktor terbabit.
Aktor yang dimaksudkannya kekal aktif berlakon sehingga kini.
Yi-jae memulakan debut pada 2000 menerusi filem Da Capo dan kemunculan terakhirnya adalah pada 2016 menerusi drama You Are A Gift.
Sumber:https://www.kosmo.com.my
|
|