Penggunaan vape kurang berisiko berbanding rokok tembakau?
Kajian menunjukkan bahawa vape dikatakan mempunyai kesan yang kurang mudarat berbanding rokok tembakau - FOTO Hiasan
MENURUT pakar, terdapat kira-kira 1.2 bilion perokok di seluruh dunia dan di Asia sahaja terdapat 8 juta kematian dan penyakit serius lain yang disebabkan oleh merokok.
Beberapa kajian di peringkat antarabangsa membuktikan jumlah kematian dan penyakit yang disebabkan merokok boleh dikurangkan melalui strategi pengurangan tembakau.
Strategi ini bertujuan membantu perokok tegar yang tidak berhenti merokok dengan menyarankan mereka bertukar kepada produk kurang mudarat seperti vape.
Terdapat pelbagai kajian lain menunjukkan risiko kesihatan dalam penggunaan vape adalah rendah berbanding rokok tembakau.
Pakar kesihatan awam dalam pengurangan kemudaratan dan tembakau di United Kingdom (UK), Clive Bates berkata, salah satu kajian utama adalah kajian biomarker yang dilakukan dan menunjukkan risiko kesihatan direkodkan adalah sangat rendah.
Kajian biomarker ini mengukur tahap bahan toksik dalam darah, air liur atau air kencing pengguna vape dan apabila dibandingkan dengan individu merokok, ia adalah di tahap yang tidak dapat dikesan atau jauh lebih rendah.
Menurut Bates, Public Health England (PHE), agensi kesihatan awam di UK mengesahkan bahawa vape adalah 95 peratus kurang mudarat daripada rokok tembakau sejak 2015.
Bates juga menambah sebuah institusi kesihatan awam yang tertua dan terkemuka di seluruh dunia, Royal College of Physicians, mengatakan bahawa risiko kesihatan daripada penggunaan vape tidak melebihi 5 peratus daripada kemudaratan rokok tembakau.
Selain itu, terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa vape berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok.
Menurut Bates, terdapat lima jenis kajian yang menunjukkan keberkesanan vape menggantikan rokok dan membantu perokok berhenti merokok.
Kesemua kajian ini merangkumi ujian terkawal secara rawak, data pemerhatian, trend penduduk, data pasaran dan testimoni pengguna.
Data daripada semua kajian ini secara konsisten menunjukkan jumlah perokok berkurang apabila produk vape dijual dalam pasaran, jualan produk rokok menurun kerana perokok bertukar kepada produk vape dan ribuan pengguna vape yang telah mengatakan mereka berjaya berhenti merokok kerana vape.
PHE turut mengesahkan trend ini di mana penilaian saintifik pada tahun 2020 menunjukkan, vape adalah produk yang paling popular digunakan di England sebagai alternatif untuk berhenti merokok.
Pada masa sama, mengulas keperluan berkaitan peraturan Bates berkata, terdapat dua jenis peraturan yang boleh dipertimbangkan iaitu saranan perokok bertukar kepada vape dengan mengambil kira keperluan piawaian produk dari segi kualiti dan keselamatan untuk pengguna.
"Kedua adalah melalui pelaksanaan peraturan ketat, namun peraturan ini akan mengakibatkan produk lebih susah dibeli atau diakses pengguna, kurang menarik dan lebih mahal.
"Ini adalah cara yang kurang berkesan kerana ia boleh membuatkan perokok terus merokok dan tidak bertukar kepada vape yang kurang mudarat," kata Bates.
Mengulas lebih lanjut, di UK, Kanada dan New Zealand, vape dikawal sebagai produk pengguna dan negara berkenaan mengiktiraf risiko kemudaratan vape adalah jauh rendah berbanding merokok dan berkesan membantu perokok berhenti merokok.
Malah agensi kesihatan kerajaan negara New Zealand membuat polisi menyarankan perokok menggunakan vape untuk berhenti merokok serta kempen kesedaran secara besar-besaran bahawa vape adalah kurang mudarat berbanding merokok.
Malaysia mempunyai potensi besar di mana ekosistem industri yang besar dan dinamik mula bertapak dan dengan rangka kerja peraturan yang bersesuaian akan memastikan keselamatan pengguna.
"Dengan langkah ini, saya percaya Malaysia akan menjadi satu negara utama dalam industri vape di dunia," kata Bates.
Sumber: https://www.hmetro.com.my
|