Langkawi: Polis Kedah mengukuhkan lagi operasi Op Benteng di sekitar pantai Pulau Langkawi termasuk Bukit Malut bagi mengelak pencerobohan warga asing.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, beberapa lokasi di pulau ini dikenal pasti menjadi tempat pendaratan warga asing untuk menyeludup masuk ke negara ini seperti Pantai Telok Nibong dan Pantai Pasir Tengkorak.
"Pantai di kawasan berkenaan ditutup pada waktu malam kepada pengunjung kerana sunyi dan gelap dan ini memberi peluang kepada warga asing untuk masuk secara haram.
"Bagaimanapun kita sentiasa menempatkan anggota kita dari pelbagai unit seperti Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melakukan pemantauan lebih kerap di kawasan pantai di sekitar pulau ini bagi mengelak dibolosi," katanya ketika melakukan tinjauan di Pantai Teluk Nibung dan Pantai Pasir Tengkorak dalam Op Benteng bersama pasukan JSJ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan JSJ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner G Suresh, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.
Kamarul Zaman berkata, tidak mustahil rakyat dari negara jiran mencari peluang untuk menyusup masuk untuk bekerja di sini susulan kedai makanan dan premis kini dibuka ketika pelaksanaan Gelembung Pelancongan sejak 16 September lalu.
"Jarak antara Thailand dengan Langkawi tidak jauh dan hanya antara lima atau tujuh kilometer saja dari pantai ini memudahkan mereka untuk masuk secara haram.
"Namun, dengan kawalan ketat dan pemantauan anggota di kawasan ini menyukarkan mereka untuk berbuat demikian kerana kita turut menggunakan dron untuk melakukan pemantauan di kawasan laut," katanya.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk mengekang kemasukan pendatang asing ke negara ini melalui jalan laut.
Beliau berkata, selain kemasukan manusia, pihaknya juga akan memantau kemasukan barang larangan seperti dadah supaya gagal dibolosi ke negara ini.