View: 2184|Reply: 0
|
Jaga disiplin ketika buka Aib?
[Copy link]
|
|
Jaga disiplin ketika dedah
MANGSA perlu mendedahkan kezaliman seseorang kepada penguasa, namun tidak kepada orang awam.
Kebelakangan ini kecoh di media sosial apabila warga maya hangat memperkatakan mengenai salah laku seorang pendakwah popular yang dikatakan terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Timbul perdebatan dalam kalangan ilmuwan sendiri mengenai kedudukan yang membolehkan kita mendedahkan keaiban seseorang.
Sebahagian mereka berpandangan adalah tidak wajar untuk kita mencanangkan aib seseorang itu apatah lagi kita menghimpunkan segala bukti salah laku yang dipamerkan kepada masyarakat.
Sebahagian yang lain pula bertegas daripada aspek kewajipan mencegah jenayah, menggalakkan mangsa untuk tampil dan mengekang kejahatan ini agar tidak berleluasa sehingga terkena kepada anak gadis atau isteri orang lain pula.
Menutup aib diri sendiri
Secara asasnya, Rasulullah SAW mendidik Muslim agar menyembunyikan kelakuan dosa dan aibnya. Maksiat yang dilakukan oleh diri sendiri tidak seharusnya dihebohkan kepada orang lain. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mencela kaum 'mujahirin' iaitu kumpulan yang menzahirkan keaiban mereka sedangkan Allah SWT telah menutup aib mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). Yang dimaksudkan dengan 'mujaharah' itu ialah seorang lelaki yang melakukan satu perbuatan (maksiat) pada waktu malam sedangkan pada waktu pagi Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada malam tersebut. Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan (dosa) ini dan perbuatan (dosa) itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan namun dia bangun pada waktu pagi lalu mendedahkan sendiri apa yang Allah telah sembunyikan aibnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Menjaga aib seorang Muslim
Rasulullah SAW turut mendidik kita agar tidak mendedahkan aib orang lain. Ini dapat diperhatikan dalam hadis yang menyebutkan: "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, maka Allah akan menutup keaibannya di hari akhirat kelak dan barangsiapa yang membuka aib saudara Muslimnya, maka Allah akan mendedahkan keaibannya sehingga dia merasa malu dengan keaiban tersebut (sekalipun) dia berada di dalam rumahnya. (Hadis Riwayat Ibn Majah – dinilai Sahih oleh al-Albani)
Keaiban yang boleh didedahkan
Walaupun begitu, sarjana Muslim pernah membincangkan mengenai disiplin dan garis panduan yang membolehkan keaiban seseorang itu didedahkan. Antaranya al-Imam al-Nawawi menggariskan terdapat enam keadaan yang membolehkan seseorang itu mendedahkan keaiban orang lain, iaitu yang pertama adalah orang yang dizalimi. Seseorang yang dizalimi itu dibenarkan untuk mendedahkan perilaku kezaliman dan kejahatan yang dilakukan ke atas dirinya. Sebagai contoh andai sekiranya seorang gadis itu dirogol atau dicabul, maka dia seharusnya menceritakan jenayah tersebut kepada pihak berkuasa agar jenayah ini dapat dibawa kemuka pengadilan. Kebenaran untuk mendedahkan keaiban sebegini adalah berteraskan firman Allah yang menyebutkan: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiaya (iaitu yang dizalimi)". (Surah al-Nisa: 148)
Al-Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa seseorang yang bertekad untuk mencegah kemungkaran boleh mendedahkan perilaku buruk seseorang kepada pihak berkuasa. Perkara ini pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW seperti mana yang direkodkan oleh al-Bukhari. Menurut riwayat tersebut, Abdullah bin Ubai (ketua Munafik di Madinah) dikatakan merancang untuk melakukan kejahatan ke atas Rasulullah. Perkara ini didengari oleh Saidina Zaid bin Arqam lantas beliau menceritakan keburukan Abdullah bin Ubai ini kepada Baginda Nabi SAW. Andai kita perhatikan di sini, Rasulullah tidak melarang Zaid menceritakan keburukan yang dirancang oleh Abdullah bin Ubai. Ini kerana, mencegah kerosakan dan kemungkaran itu lebih utama dalam situasi ini.
Manakala dalam situasi yang lain pula, seorang Muslim itu dibenarkan untuk mendedahkan keburukan orang tertentu bagi tujuan bertanyakan soalan atau fatwa. Dalam sebuah hadis yang sahih, Saidatina Hind pernah bertanya kepada Rasulullah tentang suaminya yang kedekut. Dalam perihal ini, beliau mendedahkan sifat buruk suaminya, namun tidak dilarang oleh Baginda Nabi SAW.
Disiplin yang perlu dijaga
Sekalipun Islam membenarkan seseorang itu mendedahkan keaiban seseorang dalam situasi tertentu, namun, beberapa disiplin hendaklah dijaga. Seorang Muslim tidak seharusnya menyebarkan keaiban seseorang dengan sewenang-wenangnya dalam media sosial. Ini bukan sahaja boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa, malah tidak selari dengan panduan syarak. Dalam sebuah hadis, al-Imam al-Bukhari pernah merekodkan bagaimana Rasulullah SAW menceritakan keaiban seorang lelaki kepada Saidatina Aisyah. Baginda menjelaskan mengenai sifat buruk lelaki tersebut dalam melayani keluarganya. Namun Baginda tidak mencanang keaiban tersebut pada setiap orang kerana ia bukanlah satu keperluan. Seorang mangsa perlu untuk mendedahkan kezaliman seseorang kepada penguasa, namun tidak bagi orang awam. Yang membimbangkan kita pada hari ini adalah penyebaran maklumat yang tidak terkawal oleh pihak yang tidak berkaitan yang mengaibkan peribadi seseorang sekalipun andai sekiranya dia sudah bertaubat nanti. Situasi ini seumpama seorang artis yang telah bertaubat dan kembali ke jalan hidayah, namun gambar-gambar atau video aib mereka masih tersimpan dalam data di platform maya yang akan dilihat oleh anak-anak mereka atau generasi seterusnya. Semoga Allah mengampuni kita dan membimbing kita semua.
Penulis Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|