View: 3208|Reply: 1
|
Fakta, mitos berkaitan minuman isotonik
[Copy link]
|
|
Fakta, mitos berkaitan minuman isotonik
Oleh Mary Easaw-John
Fakta 1: Minuman isotonik baik dalam menggalakkan penghidratan berbanding lain-lain minuman.
Perpeluhan adalah cara badan mengekalkan suhu terasnya pada 37 darjah Celcius.
Akibatnya, badan kehilangan cecair dan elektrolit (mineral seperti klorida, kalsium, magnesium, natrium dan kalium) dan jika dibiarkan boleh mendorong kepada penghidratan dan lama-kelamaan menyebabkan kelumpuhan peredaran dan strok haba. Ada dua faktor utama dalam penyerapan cecair yang boleh memberi kesan terhadap kepantasan cecair yang kita minum, iaitu :
i. Kepantasan cecair dikosongkan daripada perut
ii. Kadar cecair yang diserap melalui dinding usus kecil
Semakin tinggi tahap karbohidrat dalam minuman, semakin perlahan kadar pengosongan perut. Minuman isotonik dengan tahap karbohidrat antara enam dan lapan peratus dikosongkan daripada perut pada kadar yang hampir sama dengan air. Elektrolit terutama natrium dan kalium dalam minuman akan mengurangkan pengeluaran air kencing, membolehkan cecair mengosong daripada perut dengan cepat, menggalakkan penyerapan daripada usus dan pembendungan cecair.
Keosmolarian cecair adalah ukuran jumlah partikel dalam rumusan. Di dalam minuman, partikel ini akan terdiri daripada karbohidrat dan elektrolit manakala dalam plasma darah, partikel akan mengandungi natrium, protein dan glukos.
Minuman dengan keosmolarian 270 hingga 330 mOsm/kg (sama dengan keosmolarian darah) yang seimbang dengan cecair badan, dipanggil isotonic.
Minuman isotonik menggantikan cecair yang hilang dengan cepat melalui perpeluhan serta membekalkan karbohidrat yang bertambah. Glukos adalah sumber tenaga yang menjadi pilihan badan. Oleh itu, adalah wajar untuk mengambil minuman isotonik yang mana sumber karbohidrat ialah glukos dengan pekatan enam hingga lapan peratus.
Fakta 2: Teh atau kopi tidak boleh membantu penghidratan
Teh atau kopi mengandungi kafein. Penghidratan adalah satu hasil yang berkaitan dengan pengambilan kafein secara berlebihan. Kafein menjejaskan buah pinggang dengan bertindak sebagai diuretik yang meningkatkan pengeluaran air kencing sekali gus meningkatkan kehilangan air daripada badan. Teh dan kopi boleh menjadi sumber cecair. Bagaimanapun, ia tidak mengandungi elektrolit yang hilang menerusi peluh dan diperlukan untuk meningkatkan penghidratan semula. Adalah baik untuk mengambil minuman ini apabila status penghi­dratan kembali normal dalam jumlah yang disarankan.
Penghidratan yang mencukupi adalah penting bagi semua orang dan minuman isotonik menjadi pilihan cecair penghidratan semula bagi pengguna yang menyukai kesegaran rasanya. Ia juga sesuai untuk mereka yang berhasrat mengelakkan kalori atau mengambil kafein, gula, kalori atau pelbagai bahan yang didapati pada lain-lain minuman dalam jumlah yang disarankan.
Fakta 3: Jika air kencing berwarna kuning kehitaman, itu bermakna anda sedang mengalami penghidratan.
Berdasarkan kajian, warna air kencing boleh mendedahkan banyak perkara mengenai kesihatan anda - satu teknik diagnosis yang terlepas pandang. Bagi seseorang yang sihat, warna air kencing hampir cerah hingga kekuningan terang disebabkan oleh pigmen yang dikenali sebagai urokrom. Tetapi, apabila urokrom menjadi pekat, air kencing boleh bertukar menjadi kuning kehitaman atau coklat, menandakan sudah sampai masanya untuk anda minum.
Ia adalah petunjuk penghidratan yang boleh digunakan sebagai penanda sama ada anda minum air yang mencukupi, khususnya dalam cuaca panas lembap. Jika anda berpeluh dengan banyak, air kencing akan menjadi lebih pekat kerana air kurang bersedia untuk membawa zat terlarut. Jika pengambilan air ditingkatkan, pekatan akan menjadi cair secara automatik sekali gus menjadikan warna air kencing kembali normal. Tetapi, sekiranya anda mendapati air kencing masih berwarna kekuningan sekali pun selepas minum air dengan banyaknya, ada kemungkinan anda menghidapi penyakit kuning.
Lazimnya, air kencing pada awal pagi adalah lebih pekat berbanding pada waktu lain kerana kita tidak minum air ketika tidur. Sememangnya, minuman isotonik memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan badan kita dalam keadaan yang lembap (terhidrat). Dan sekiranya anda meningkatkan pengambilan pelbagai sumber cecair, air kencing anda yang pada mulanya pekat boleh menjadi cair manakala warnanya kekal jernih. Untuk mencapai pengambilan cecair yang mencukupi, minumlah pelbagai jenis cecair seperti air, jus, minuman isotonik, minuman soya dan susu dalam jumlah yang dibenarkan.
Fakta 4: Minuman tenaga tidak boleh digunakan untuk penghidratan.
Matlamat penghidratan semula untuk menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang dalam badan anda. Minuman isotonik dirumus khusus untuk meningkatkan penghidratan serta mengoptimumkan prestasi fizikal. Kajian menyokong faedah meningkatkan prestasi hasil pengambilan minuman isotonik bagi senaman yang berlangsung sekitar lebih kurang 30 minit. Meminum minuman isotonik selepas bersenam turut menggalakkan penghidratan semula di samping penambahan semula glikogen (karbohidrat yang terdiri daripada rantai bercabang unit glukosa).
Jumlah karbohidrat yang hadir dalam minuman tenaga (misalnya 10 hingga 12 peratus) adalah bersamaan dengan minuman ringan dan jauh lebih tinggi berbanding minuman isotonik (biasanya antara enam hingga lapan peratus seperti mana yang disarankan oleh Garis Panduan Antarabangsa).
Minuman tenaga sama ada mempunyai natrium yang terlalu sedikit atau terlalu banyak. Natrium adalah elektrolit yang penting dalam minuman isotonik. Ia membantu mengoptimumkan penghidratan dan mengekalkan rasa dahaga anda. Minuman isotonik dirumuskan dengan campuran karbohidrat dan natrium yang tepat untuk penghidratan dan rasa yang optimum. Minuman tenaga, tidak seperti minuman isotonik boleh jadi mengandungi kafein atau guarana yang diuretik yang mana boleh menambah penghasilan air kencing dan meningkatkan risiko penghidratan. Sesetengah minuman tenaga juga mungkin mengandungi ginseng, gingko biloba, asid amino taurina dan inositol iaitu sejenis alkohol gula yang tidak terbukti kesahihannya dalam mengekalkan penghidratan.
Fakta 5: Minuman isotonik sesuai bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.
Adalah penting bagi individu yang mengamalkan gaya hidup aktif untuk kekal dalam keadaan yang terhidrat. Minuman isotonik yang terdiri daripada gabungan air, gula dan elektrolit adalah sesuai untuk penghidratan tubuh badan. Bagi penghidap diabetes yang melakukan senaman secara intensif (bersungguh-sungguh), minuman isotonik boleh membantu menggantikan semula cecair yang hilang serta menghalang hipoglisemia. Juga dinasihatkan bagi individu yang menghidap diabetes agar berunding dengan pakar dietetik sukan mengenai pelan pemakanan dan minuman mereka terlebih dahulu sebelum melakukan jadual senaman mereka.
Sementara itu, bagi penghidap tekanan darah tinggi, pengambilan natrium anda tidak boleh melebihi 2,400mg sehari atau lebih rendah daripada jumlah ini. Secawan minuman isotonik 240ml mengandungi 115mg natrium klorida. Oleh itu, semua makanan dan minuman yang mengandungi natrium seharusnya diambil kira jika anda menghidapi hipertensi (tekanan darah tinggi). Membaca label produk sebelum mengambil sebarang makanan atau minuman adalah satu langkah bijak. |
|
|
|
|
|
|
|
Soal jawab minuman isotonik
Oleh: MARY EASAW-JOHN
Minuman isotonik selalunya dikaitkan dengan sukan dan acara. Bolehkah individu yang tidak begitu aktif minum minuman isotonik?
JAWAPAN: Semasa minuman isotonik mula dicipta, nama serta peranannya di dalam pasaran adalah untuk tujuan sukan dan ketahanan.
Minuman isotonik memang memberikan faedah langsung kepada mereka yang terbabit di dalam aktiviti fizikal dengan cara menyediakan penghidratan semula dengan segera.
Ia juga boleh dijadikan sebahagian daripada pengambilan cecair harian anda bersama-sama dengan lain-lain minuman dalam had yang dibenarkan.
Adakah minuman isotonik sesuai untuk mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif?
JAWAPAN: Adalah penting bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif untuk kekal berada dalam keadaan yang lembap atau dihidrasi pada setiap masa.
Minuman isotonik mengandungi kombinasi air, gula dan elektrolit yang padan untuk penghidratan tubuh.
Bagi pesakit diabetes yang bersenam secara intensif (bersungguh-sungguh), minuman isotonik boleh membantu mereka menambah lagi cecair yang telah hilang di samping mencegah hipoglisemia.
Adalah disarankan, individu yang menghidap diabetes agar berunding terlebih dahulu dengan pakar dietetik tentang pelan pemakanan serta minuman mereka sebelum merangka sebarang jadual senaman.
Bagi pesakit tekanan darah tinggi pula, pengambilan natrium anda seharusnya tidak melebihi 2,400 mg. atau kurang, sehari.
Secawan minuman isotonik 240 ml. mengandungi 115mg. natrium klorida. Jadi, semua makanan dan minuman yang terdiri daripada natrium perlulah diambil kira jika anda menghidapi penyakit ini.
Membaca label produk sebelum anda menentukan sebarang pengambilan makanan atau minuman sentiasa menjadi satu langkah yang bijak.
Apakah bahan-bahan yang terkandung di dalam minuman isotonik?
JAWAPAN: Bahan-bahannya adalah natrium, kalium, kalsium, magnesium, klorida, fosfat dan air.
Ini merupakan elektrolit-elektrolit yang pada dasarnya merupakan alat pemancar elektrikal di dalam badan anda. Anda boleh membandingkannya dengan partikel-partikel bercas elektrik atau ion-ion di dalam bateri lampu suluh.
Peluh yang menyejat daripada kulit anda mengandungi pelbagai elektrolit dan cecair.
Sekiranya berlaku kemerosotan berterusan elektrolit-elektrolit ini, ia akan mendorong kepada penyahhidratan dan strok haba.
Badan kita secara semulajadinya akan melaksanakan pengawalan dalaman elektrolit-elektrolit ini dalam usaha mengekalkan keseimbangan jika berlaku perubahan-perubahan kecil.
Adalah disarankan untuk menggantikan semula elektrolit-elektrolit yang telah hilang dengan cara membekalkan tubuh dengan cecair dan elektrolit. Dengan cara itu, penghidratan semula berlaku pada kadar segera.
Berapa banyakkah minuman isotonik yang boleh saya minum sebagai sebahagian daripada pelan cecair? Sebaik sahaja saya membuka penutupnya, berapa lamakah minuman isotonik boleh disimpan?
JAWAPAN: Minuman isotonik boleh diminum mengikut keperluan pengambilan cecair harian anda iaitu sebanyak dua liter sehari.
Secawan minuman isotonik 250 ml. bersesuaian dengan pelan cecair anda.
Bagaimanapun, pelbagai jenis cecair seperti air, susu dan jus buah-buahan perlu juga dimasukkan dalam senarai pelan cecair anda.
Sekiranya anda mengambil minuman isotonik dari dalam tin, adalah lebih baik bagi anda untuk meminumnya sebaik sahaja ia dibuka. Jika tidak, karbon dioksida akan menyurai dari minuman tersebut.
Sebaliknya, jika diambil dari botol, pastikan anda mengetatkan penutupnya dengan kemas dan menghabiskan minuman tersebut dalam tempoh dua ke tiga hari.
Patutkah saya minum minuman isotonik yang sejuk atau pada suhu bilik sahaja? Berapakah jangka hayat simpanannya?
JAWAPAN: Berbeza dengan apa yang biasa kita dengar, minuman sejuk tidak diserap ke dalam badan dengan lebih cepat berbanding minuman hangat atau panas.
Bagaimanapun, minuman sejuk lebih sedap rasanya berbanding yang panas terutamanya semasa bersenam atau dalam keadaan cuaca yang panas.
Jadi, sekiranya minuman sejuk atau dingin itu membuatkan anda mengambilnya dalam jumlah yang banyak, biar sahaja minuman anda sejuk.
Kebanyakan minuman isotonik mempunyai hayat simpanan di antara sembilan ke-12 bulan dari tarikh pengeluarannya.
Minuman isotonik bertin tidak telap oksigen dan cahaya. Sehubungan itu, ia mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding yang disimpan di dalam botol.
Ini kerana, botol yang jernih membenarkan pemindahan oksigen dan cahaya kepada produk sekali gus mempunyai hayat simpanan yang lebih pendek.
Anda disarankan membaca labelnya dengan berhati-hati.
Apakah komponen yang menghilangkan dahaga di dalam minuman isotonik?
JAWAPAN: Minuman isotonik mengandungi gabungan karbohidrat iaitu glukos dan sukrosa, elektrolit seperti natrium, kalium dan fosfat (mineral hilang melalui peluh), serta air.
Semakin tinggi tahap karbohidrat di dalam minuman, semakin rendah kadar pengosongan perut.
Minuman isotonik dengan tahap karbohidrat di antara enam dan lapan peratus dikosongkan daripada perut pada kadar yang sama dengan air.
Elektrolit, terutamanya natrium dan kalium di dalam minuman akan mengurangkan pengeluaran air kencing, oleh itu membolehkan cecair mengosong daripada perut dengan pantas.
Ia seterusnya menggalakkan penyerapan daripada usus serta pembendungan cecair. Itulah perbezaannya.
Mesejnya
Adalah penting bersederhana ketika makan dan minum - seimbang dan juga pelbagai. Pengambilan cecair sering dipinggirkan dari pelan pemakanan anda.
Kekalkan diri anda dalam keadaan yang lembap (terhidrat) sentiasa. Dengan cara itu mampu mengoptimumkan prestasi kerja dan rutin harian anda.
- MARY Easaw-John merupakan seorang pakar perunding diet yang mempunyai 23 tahun pengalaman di dalam bidang pemakanan dan dietetik.
Maklumat di atas tidak lain adalah bertujuan mendidik orang ramai, tanpa menyokong mana-mana produk.
Sebarang pertanyaan mengenai isi kandungan dan penggunaannya hendaklah dirujuk kepada pakar diet berkelayakan.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|