|
berita harian online
12/02/08
BERGELAR artis popular dan meniti dunia glamour memang menjadi impian semua. Kenyataan ini mendorong pembabitan seseorang itu menyertai pertandingan nyanyian yang boleh membuka laluan untuk mencapai hasrat tersebut.
Menyingkap kembali sejarah pembabitan penyanyi kelahiran RTM, maka lahirlah rancangan Bintang-Bintang yang bakal bersiaran sebanyak 14 episod ini. Dalam setiap episod, ia membabitkansesi dua orang artis yang kesemuanya 28 orang, di mana mereka pernah menyertai pertandingan seperti Bintang RTM, Bintang HMI, Golden Teen Search, Bintang Gala 2, Suara 90an, Idola Patriotik dan pertandingan Klasik Nusantara.
Menampilkan barisan penyanyi ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Nora, Liza Hanim, Alya dan Dayang Nurfaizah. Begitu juga artis hebat Bintang RTM menampilkan Farawahida, Ramlah Ram, Siti Sarah, Jamal Abdillah, Rey, Rina, Sharifah Zarina, Rohana Jalil, Noraniza Idris, Misha Omar, Izwan Pilus, Azharina dan Nurhasmida,
Tidak ketinggalan bintang kelahiran Suara 90an, Klasik Nasional, Idola Patriotik, Bintang Gala 2, Bintang Asli Remaja seperti Adibah Nor, Ester Khoo, Anis Salwa, Muhaizam, Rosma Dali, Dia Fadilla, Nurfatimah, Sabariah dan Eddie Nazrin yang menyinar bakat mereka dalam industri muzik tanah air.
Sepanjang satu jam bersiaran, rancangan yang masih berlangsung penggambarannya ini dilakukan secara santai dan eksklusif akan menemu bual artis sambil diselang-selikan klip video penyanyi terbabit sebagai imbuhan kepada peminat.
Daya tarikan utama kepada penonton pastinya berlegar sekitar perkongsian cerita sensasi artis yang sememangnya begitu dinanti-nantikan peminat terutama di kalangan peminat fanatik penyanyi terbabit. Malah menariknya, penyanyi yang terbabit akan berkongsi sama cerita jerih-perih bergelumang dengan realiti sebenar menjadi seorang artis. Ia berguna sebagai tip kepada pendatang baharu atau pun kepada individu yang berminat melebarkan sayap menjadi artis rakaman.
Meskipun Bintang-Bintang dijangkakan menemui penonton sekitar bulan Mei 2008, namun pastikan penonton tidak melepaskan peluang keemasan menonton program yang bermanfaat kepada peminat dan penyokong industri muzik tempatan ini. |
|