|
Catatan Faizal Tahir @ Bintang Popular (B*Pop)
[Copy link]
|
|
Format baru AJL lebih praktikal?
Bersama Faizal Tahir
[email protected]
ASSALAMUALAIKUM. Semoga hujung minggu ini membawa ketenangan dan kegembiraan kepada semua di samping dapat berehat bersama keluarga, teman atau orang tersayang. Minggu ini boleh dikatakan agak penting kepada industri muzik tanah air dengan bermulanya saringan pertama separuh akhir Muzik-Muzik ke-24, Jumaat lalu.
Sebelas lagu bertanding dua hari lalu. Tahniah diucapkan kepada semua atas kesungguhan dalam memastikan persembahan masing-masing adalah yang terbaik setakat ini. Dua lagi saringan akan berlangsung dan saya akan bertanding dalam saringan separuh akhir ketiga pada 20 November ini. Diharapkan peminat muzik datang beramai-ramai ke Sri Pentas II, Alam Sentral, Shah Alam untuk memberi sokongan kepada artis pilihan masing-masing.
Mungkin ada yang belum mengetahui mengenai format terbaru Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) yang akan berlangsung tidak lama lagi. AJL24 akan kembali ke format asalnya iaitu tanpa ada kategori tertentu untuk lagu terpilih. Sebaliknya, AJL24 menyaksikan 30 lagu terpilih bersaing mendapatkan 14 tempat di final dan acara kemuncak AJL24 bagi menobatkan satu lagu sebagai juara keseluruhan AJL24 nanti
Ini bermaksud saingan mendapatkan gelaran Juara Lagu lebih sengit dan terbuka. Kalau sebelum ini, mungkin pemenang masih boleh dibaca selepas diumumkan juara bagi kategori masing-masing, namun kali ini pemenang mungkin sukar diramal penonton. Pastinya perubahan pihak produksi Muzik-Muzik dengan visi memberikan yang terbaik demi kemajuan industri muzik tempatan.
Tiada lagi juara Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif. Ini membuktikan muzik itu universal. Namun, kalau mahu dibincangkan, sudah pasti topik ini akan mendapat sambutan dan reaksi berbeza daripada pelbagai pihak. Memang betul ia boleh diperdebatkan. Setiap konsep ditentukan pasti ada kekuatan dan kelemahan. Pasti ada pro dan kontra. Pasti ada yang menyokong dan membantah. Namun yang pasti, format baru ini lebih menguji juri kita dalam memilih juara keseluruhan nanti.
Diucapkan 'good luck' dan 'all the best' kepada semua teman artis yang akan bersaing dalam separuh akhir Muzik-Muzik pada 13 dan 20 November ini. Saya pasti semua akan memberikan yang terbaik. Pun begitu, fakta paling menarik mengenai pencalonan tahun ini adalah pembabitan ramai bakat baru dalam persada muzik tanah air. Tahun ini adalah tahun menyaksikan paling banyak muka baru selepas sekian lama kita tercari-cari pelapis untuk mempelopori industri muzik kita dalam masa terdekat ini.
Penyertaan daripada Bunkface, Hujan, Yuna, Aizat, Stacy, Pesawat, Grey Sky Morning, Alyah, Hafiz dan Akim adalah antara nama baru dan muda dalam persaingan separuh akhir Muzik-Muzik tahun ini. Ini adalah pencapaian cukup membanggakan bagi industri muzik Malaysia. Saya sendiri berasa kagum dan bangga berada dalam kelompok pendatang baru ini bagi memberi sumbangan dan mewarnakan lagi industri muzik tanah air.
Apa yang lebih menarik mengenai nama-nama disebutkan tadi, mereka bukan setakat menyanyi, tetapi juga mencipta dan menerbitkan muzik sendiri. Inilah sebenarnya faktor kepada keunikan muzik yang mereka bawa. Setiap band atau artis itu mempunyai 'sound' tersendiri bagi memberi kelainan.
Senario ini cukup berbeza dengan keadaan industri muzik kita pada suatu ketika dulu apabila seorang penerbit atau komposer menjadi penerbit kepada empat atau lima artis lain sekali gus. Ia tidak memberi kelainan dan identiti kepada artis berkenaan. Selain itu, satu lagi kesilapan diperhatikan apabila seseorang artis itu menggunakan khidmat sehingga empat atau lima penerbit dalam menerbitkan sesebuah album.
Seperti muzik baru yang menyegarkan dibawa bakat-bakat baru ini, saya juga menanti dan mengharapkan perkembangan sama dari segi produksi tempatan, khususnya bidang produksi dan rakaman muzik serta penyiaran. Saya pasti kehadiran muzik segar dan bakat baru ini mampu menyuntik semangat untuk generasi muda kita bersikap lebih positif dan terbuka minda untuk menghasilkan produk serta program lebih berkualiti dan 'up to date'.
Bagi saya, kita masih belum mampu berbangga dengan apa yang kita ada. Banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki dan banyak lagi aspek perlu diteliti dan diambil berat. Aspek yang selalu menjadi keutamaan saya ialah kualiti 'sound' untuk penonton yang menyaksikan sesuatu program berlatar belakangkan muzik 'live'.
Secara jujurnya, kita masih belum sampai ke tahap dapat memberikan impak kepada penonton dari segi 'live broadcast'. Kebanyakan rancangan berlatar belakangkan muzik 'live' di negara kita masih belum mampu memberikan kualiti membanggakan kepada penonton kita. Kadangkala, muzik yang begitu baik dipersembahkan belum tentu lagi dapat dinikmati kualiti sebenarnya oleh penonton di rumah. Saya rasa sudah sampai waktunya untuk penggiat industri penyiaran melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan ini.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin terus memberi sokongan kepada rakan artis yang akan bertanding dalam separuh akhir Muzik-Muzik pada 13 dan 20 November ini. Selamat maju jaya dan 'all the best'.
Jangan lupa juga untuk datang memeriahkan lagi konsert Fly-Anniversary Ke-4 pada Sabtu, 14 November ini di 1 Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya. Selain saya, artis lain yang turut membuat persembahan ialah Bunkface, Estranged, Disagree, Joe Flizzow, Shila OIAM, Caprice dan ramai lagi. Wassalam. |
|
|
|
|
|
|
|
Usah salahkan Shila
ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Alhamdulillah, saya kembali menulis setelah berehat hampir dua minggu atas sebab kesihatan. Dalam apa jua keadaan, setiap yang sihat pasti sakit dan sebaliknya. Setiap yang menang pasti tewas dan sebaliknya. Setiap yang suka pasti duka dan sebaliknya. Setiap yang senang pasti susah dan sebaliknya dan setiap yang bermula pasti ada akhirnya.
Begitulah juga 2009 ini yang senja dan memasuki bulan terakhir tahun ini. Terlalu cepat masa berlalu dan terlalu singkat masa yang kita ada untuk melakukan semua benda yang dirancang awal dalam masa 365 hari. Masih segar di ingatan saya banyak perkara dilalui dalam masa hampir setahun ini. Namun begitu, apa yang telah berlalu harus dibiarkan berlalu dan dijadikan rujukan untuk kebaikan masa depan.
Saya masih ingat pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-22 yang dilangsungkan di Arena of Stars, Genting Highlands pada awal tahun ini. Malam yang memperkenalkan single terbaru saya, Bencinta kepada khalayak ramai. Masih ingat persembahan itu? Sedar tak sedar, pencalonan untuk ABPBH ke-23 telah pun disenaraikan untuk undian pembaca setia Berita Harian. Terkejut saya mendengar berita ini kerana langsung tidak sedar masa telah berlalu. Begitu juga Anugerah Juara Lagu (AJL).
Saya masih teringat malam AJL ke-23 yang berlangsung awal tahun ini. Namun, kini tinggal hanya sebulan lagi untuk kita semua bakal menyaksikan saingan 14 lagu baru bertanding pada AJL ke-24 pada 10 Januari depan. Tahniah kepada semua artis dan komposer serta penulis lirik yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Alhamdulillah, Bencinta ciptaan Audi Mok dan saya berjaya ke AJL ke-24. Jutaan terima kasih kepada semua peminat dan pihak juri yang memberi kepercayaan kepada lagu ini untuk bertanding pada malam gemilang AJL ke-24. Tidak lupa juga kepada Shila yang berjaya menggalas tanggungjawab menggantikan saya pada malam separuh akhir dua minggu lalu.
Saya sebenarnya amat terkejut dan kecewa dengan kritikan hebat dan segala jenis cemuhan sesetengah pihak yang menghentam Shila tanpa ada rasa belas terhadapnya. I feel responsible. Pada saya, ia sangat tidak adil untuk melemahkan semangat seorang anak seni yang masih muda dan berbakat besar dalam industri muzik tanahair. Saya sendiri mengakui Shila berpotensi besar untuk pergi jauh dalam bidang muzik. Dia tidak sepatutnya dikritik atau disalahkan dalam situasi ini.
Pilihan untuk memanggil Shila menggantikan tempat saya pada malam itu adalah pilihan saya, Audi Mok dan pihak syarikat rakaman kami, Monkey Bone. Bukan kami memilih sesuka hati. Benar, pilihan utama saya adalah Azlan dari kumpulan Azlan & The Typewriter. Datuk Siti juga saya lihat sebagai calon terbaik untuk memberi kelainan pada pembawakan lagu itu. Saya tidak mahu seorang klon atau seseorang yang mampu membawa lagu itu seperti mana saya menyampaikannya. Saya mahu seorang yang mampu memberi kelainan dalam persembahannya. Bencinta bukan mudah untuk disampaikan. Saya sendiri mengaku bermasalah sewaktu mula-mula mahu menyanyikan lagu itu untuk dua tiga kali yang pertama.
Memang mudah untuk kita membandingkan seorang penyanyi jemputan dengan penyanyi asalnya. Namun agak tidak adil untuk menghentam Shila dengan begitu teruk sekali. Lebih-lebih lagi apabila dia diberikan satu tanggungjawab yang pada saya amat besar baginya. Saya cukup berterima kasih kerana Shila sudi menerima dan mampu menggalas tanggungjawab dengan baik. Hanya berusia 19 tahun, Shila masih muda dan masih banyak yang mampu dipelajarinya untuk membuatkan dia seorang penghibur yang cukup baik dalam industri hiburan.
Saya tidak mungkin boleh berbohong dan mengatakan persembahan Shila adalah 100 peratus sempurna. Tetapi Shila melakukan yang terbaik untuk persembahannya, untuk Bencinta, untuk Audi Mok dan saya, untuk peminat saya dan juga untuk juri. Begitu besar sekali tanggungjawabnya dalam cuba memuaskan hati banyak pihak. Memang benar, sama seperti lagu nyanyian legenda muzik terdahulu. Tiada siapa mampu membawa sesebuah lagu seperti penyampaian penyanyi asalnya.
Contoh seperti lagu Yesterday nyanyian The Beatles adalah antara lagu yang paling banyak dijadikan ‘cover song’ oleh ratusan artis dan penyanyi dari seluruh dunia. Namun, nyanyian asal lagu itu oleh The Beatles adalah yang terbaik dan tiada tandingannya. Begitu juga ‘Smooth Criminal’ dan ‘Beat It’ nyanyian Raja Pop, Michael Jackson yang dinyanyikan semula Alien Ant Farm dan Fallout Boy sudah semestinya dibawa dengan cara berbeza. ‘More Than Words’ nyanyian asal oleh kumpulan Extreme juga adalah lagu yang banyak dijadikan ‘cover song’.
Namun, versi asalnya juga yang dicari oleh setiap penggemar muzik. Kesimpulannya, apabila seseorang itu berjaya menjadi seorang penyanyi yang diiktiraf, sudah semestinya dia tidak mahu disamakan atau dikatakan mencuba untuk menjadi penyanyi asal kepada sesebuah ‘cover song’ yang di nyanyikan semula itu.
Andai kata saya diberi tugas untuk menyanyikan lagu Shila, saya sendiri pasti akan lain juga jadi lagunya nanti. Saya sendiri pernah berasa sangat gementar dan gemuruh sewaktu diberi tanggungjawab berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan lagunya. Sudah pasti lain jadinya dari yang asal. Sedangkan sewaktu itu saya berduet dengan Datuk Siti di atas pentas. Inikan pula Shila yang berseorangan sewaktu menyampaikan lagu Bencinta, bersiaran secara langsung dan diadili juri professional. Bayangkan... Yang harus dipuji adalah kematangan dan juga keberanian Shila dalam menangani situasi ini. Kepada Shila, terima kasih banyak-banyak dan teruskan perjuangan. Be strong.
Sewajarnya, kita semua berikan peluang kepada orang di sekeliling kita. Sekiranya mahu mengkritik, biarlah berpada-pada dan membina untuk kebaikan semua. Bukan untuk menjatuhkan air muka dan reputasi seseorang. Jangan salah faham, saya tidak marah yang mengkritik, cuma minta berlembut sedikit dan beri peluang pada orang lain. Saya pasti yang mengkritik itu adalah mereka yang cukup arif dan mampu menilai muzik dan sesebuah persembahan itu dengan begitu baik dan adil. Terima kasih banyak-banyak kepada anda semua. Saya sendiri berterima kasih kepada pengkritik-pengkritik saya. Tanpa mereka juga saya takkan berada di tempat saya sekarang ini. Kita semua ada peranan masing-masing dalam kehidupan ini.
Akhir kata, jutaan terima kasih kepada Shila sekali lagi dan juga kepada Rockensteiners yang sudi turun padang memberi sokongan kepada Shila dan Bencinta sewaktu separuh akhir Muzik-Muzik tempoh hari. Sehingga berjumpa lagi. Wassalam. |
|
|
|
|
|
|
|
FT dah start tulis balik :pompom:
Nafas baru industri muzik sudah bermula
Aku.Muzik.kamu
24 Jan 2010
Bipop
ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Sudah terlalu lama saya tidak menulis untuk ruangan ini. Kalau tidak silap, sudah mencecah dua bulan. Seharusnya saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak editorial B*Pop kerana memahami keadaan saya serta sudi memberi saya cuti panjang untuk saya berehat. Terima kasih juga kepada anda semua, peminat saya yang terus berdoa untuk kesihatan saya dan juga memberi semangat serta sokongan hebat kepada saya untuk terus berkarya.
Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin baik walaupun harus menunggu sehingga empat bulan lagi untuk mendapat pengesahan keadaan kesihatan saya 100 peratus pulih. Selama hampir tiga bulan saya bercuti, memang banyak perkara yang berlaku. Saya sedar ramai yang ternanti-nanti berita mengenai keadaan kesihatan saya selama ini. Saya memohon maaf sekiranya saya tidak dapat memberi jawapan dan gambaran jelas mengenai keadaan saya selama saya berada di hospital dan selama tempoh saya berehat. Namun begitu, semangat harus kental dan hidup perlu diteruskan selagi kita mempunyai keringat dan selagi terdaya. Kerja tetap kerja. Saya tidak berehat semata-mata. Tetapi, banyak yang telah dirancang untuk kerjaya seni saya demi untuk industri hiburan serta peminat semua. Insya-Allah, tahun ini saya mengharapkan semua yang dirancang berjalan lancer dan baik, Insya-Allah. Yang paling penting adalah apa yang mampu saya berikan dan sumbangkan kepada industri muzik dan peminat, akan terus saya berikan. Harapan saya, 2010 adalah tahun yang baik untuk saya dan industri hiburan tanah tercinta ini.
Saya percaya masih belum terlambat untuk saya ucapkan tahniah kepada semua teman finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 24 yang berlangsung dua minggu lalu. Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada pihak juri yang turut memilih lagu Bencinta, ciptaan Audi Mok dan saya, sebagai pemenang tempat ketiga. Pada saya, tiada siapa yang tewas. Semua 14 lagu yang terpilih serta artis yang mempersembahkan lagu tersebut adalah juara dalam industri ini.
Apa yang penting, setiap acara penganugerahan sebegini diambil sebagai iktibar oleh semua orang untuk bekerja lebih keras dan menghasilkan karya lebih kreatif dan berkualiti demi memartabatkan seni muzik tanah air. Apa yang saya boleh saya katakan, sebagai permulaan yang baik bagi 2010, diharapkan dapat diteruskan dengan banyak lagi perkara baik sehingga ke penghujung tahun ini.
Saya juga berasakan adalah wajar untuk saya mengucapkan tahniah dan memuji usaha pihak produksi AJL pada tahun ini kerana memberikan suatu produksi cukup hebat dan membanggakan industri penyiaran Malaysia. Sudah pastinya untuk mendapatkan kualiti dan hasil produksi yang begitu hebat sebegini menelan belanja besar. Namun, duit bukan satu-satunya faktor dalam menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Idea yang hebat serta pengalaman dan pengetahuan juga penting. Pujian harus diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan kerana sanggup menerbangkan penerbit AJL kali ini, Gbam ke konsert peringkat akhir American Idol yang lalu di Los Angeles bagi menyaksikan proses penerbitan rancangan itu.
Apa yang dipelajari di sana akhirnya dipraktikkan dan digunakan bagi mendapat hasil terbaik dalam penerbitan AJL ke-24, baru-baru ini. Tahniah. Diharapkan AJL 25 mampu menandingi kehebatan AJL 24 dari segi penerbitan, penyertaan dan juga content.
Selain penerbitan yang baik, saya pasti semua bersetuju sekiranya saya katakan AJL 24 juga menyaksikan pembabitan dan penyertaan lagu serta persembahan paling menarik yang pernah kita saksikan dalam sejarah rancangan ini. Boleh dikatakan semua peserta begitu bersemangat dan ‘all-out’ bagi menyampaikan lagu masing-masing. Saya harus berasa bangga kerana berdiri bersama bakat-bakat muda dan baru. Mereka memberikan satu impak dan nafas baru kepada industri muzik tanah air.
Alhamdulillah, apa yang telah saya fikirkan sebelum ini memang menampakkan kebenarannya. Sejak kehadiran nama-nama baru seperti Estranged, Hujan, MUH, Bunkface, Yuna, Aizat, Stacy dan beberapa orang lagi, saya telah nampak dan berfikir industri muzik kita bakal dibawa ke satu aras atau era baru. Satu perubahan dan era yang telah lama kita idamkan dan nantikan. Inilah eranya. Nama-nama yang disebutkan tadi akan membawa muzik kita ke satu tahap baru. Dimensi muzik Malaysia bermula di sini. I am proud to be part of it.
Kami, anak-anak seni Malaysia mampu berkarya dan berdiri teguh dengan sokongan anda semua. Saya tidak mahu penulisan saya ini berbunyi seperti satu ucapan rasmi kempen rakyat. Tetapi memang itulah hakikatnya. Tahniah saya ucapkan kepada bakat-bakat muda tanah air dan diharapkan kita dapat bersama-sama memartabatkan lagi industri muzik kita dan membawa ia ke satu tahap baru.
Saya pasti pada ketika ini ramai ingin tahu tentang perkembangan album terbaru saya. Ya, pasti ramai sudah sedia maklum sudah lebih dua tahun berlalu sejak saya mengeluarkan album pertama saya, Aku.Muzik.Kamu. Alhamdulillah, walau dalam keadaan kesihatan saya kurang baik, pihak syarikat rakaman saya, Monkey Bone dan Audi Mok telah bersetuju untuk mengeluarkan album saya secara ‘digital download’ terlebih dulu agar tidak membuat orang ramai terus menunggu. |
|
|
|
|
|
|
|
43# washere2
yeayy! BB sudah kembali menulis
semoga segalanya berjalan lancar hendaknya ameeen~ |
|
|
|
|
|
|
| |
|