|
Stailo: Lelaki paling hangat 2009
Oleh Fairuz Zaidan
Impak gaya cetus fenomena fesyen
XY - Stailo minggu ini menyenaraikan lelaki dari pelbagai latar belakang dan profesion yang dilihat tampil memikat sepanjang 2009. Mereka jejaka terhangat, terkenal dan berpengaruh dalam setiap arena yang diceburi hingga memberi impak besar kepada khalayak.
Sama ada di pentas fesyen, dunia korporat, sukan, politik hingga tugas di belakang tabir - individu berkarisma ini adalah lambang jejaka bergaya yang mewakili ciri-ciri lelaki maskulin abad ke-21.
Pesona gaya tidak bermakna perlu disarung label berpengaruh di tubuh, sebaliknya lebih menjurus kepada pemilihan gaya, warna serta cita rasa dalam berfesyen. Inilah yang dicari-cari XY - Ikon Lelaki!
1. Robert Pattinson - pelakon
Ramai menganggap kejayaan filem The Twilight Saga : New Moon banyak dibantu pelakon kacak, Robert Pattinson yang memegang watak sebagai pontianak. Bagai pontianak paling kacak, begitulah impak yang ditonjolkan bintang berusia 23 tahun ini. Gaya rambut dan tubuh idaman, Pattinson yang meminati muzik menepati terjemahan lelaki abad ini.
2. Faizal Tahir - penyanyi
Di sebalik kejayaan serta kontroversi yang mengiringi populariti Faizal Tahir, tidak dapat disangkal pemilik lagu Mahakarya Cinta ini sering tampil dengan gaya baru.
Tidak saja sinonim dengan kemeja-T simbol ‘S’ di balik kemeja, jejaka berbakat besar ini gemar mencipta kejutan fesyen di majlis anugerah. Inilah resipi kejayaan Faizal!
3. Aaron Aziz - pelakon, model
Status suami orang bukan alasan buat Aaron Aziz mencipta kemasyhuran dalam dunia perfileman dan drama tempatan. Buktinya, jejaka kelahiran Singapura ini mencipta fenomena tersendiri hingga dikenali sebagai hero baru. Berbekalkan wajah kacak, tubuh badan tegap, pemilihan gaya Aaron turut mencetus perhatian hingga disunting sebagai duta produk kecantikan.
4. Cristiano Ronaldo - bintang bola sepak
Andai sensasi tenis Russia, Maria Sharapova mendapat jolokan ratu fesyen sukan, tidak kurang hebat fenomena yang dicetuskan penyerang sensasi Real Madrid, Christiano Ronaldo. Tidak cukup dengan gaya rambut terpacak, kening yang dibentuk cantik serta bersubang berlian, Ronaldo gemar menggayakan label mewah seperti Louis Vuitton (LV) dan Gucci.
5. Nicholas Saputra - pelakon, hos Channel V
Seperti impak watak Rangga dalam filem Ada Apa Dengan Cinta, pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra cukup disenangi peminat filem tempatan. Pernah muncul dalam klip video Debaran Cinta, Datuk Siti Nurhaliza, Nicholas terus mencipta pengaruh di luar Indonesia. Aura gaya serta wajah kacak memberi kelebihan buat jejaka hangat ini!
6. Tom Ford - pereka fesyen
Mula mengukir nama sebagai pereka bagi label fesyen YSL, Fendi dan Prada, pengaruh rekaan yang dibawakan Tom Ford mencuri tumpuan pengkritik dan penggemar fesyen dunia. Impak fesyen yang ditampilkan pada setiap musim seakan lari daripada terma klise hingga beliau tampil dengan rekaan sendiri. Seperti aura fesyen yang dibawanya, Ford tidak pernah gagal dalam bergaya.
7. SM Nasaruddin SM Nasimuddin - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Syarikat Naza
Kelibat tokoh korporat yang berusia 30 tahun ini sentiasa mencuri tumpuan ramai. Bukan beliau saja, malah semua anak lelaki Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin memberi pengaruh tersendiri dalam dunia korporat. Pemilihan sut hingga ke fesyen kasual SM Nasaruddin pantas mencuri perhatian di mana saja
Berita Harian 18 Disember |
|