[size=0.8]Oleh Aizat Sharif - Oktober 21, 2021 @ 10:22am[email protected]
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
KANGAR: Seramai 23 penjawat awam kerajaan negeri Perlis dikesan tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, berdasarkan rekod sehingga 2021, mereka yang bertugas di pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Perlis didapati tidak berdaftar dalam MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19.
"Dalam masa sama juga, seramai 1,395 penjawat awam negeri ini sudah berdaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19 yang direkodkan sehingga September lalu.
"Jumlah berkenaan menyamai kadar 98 peratus penjawat awam di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Perlis berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada akhir September lalu juga, seramai 16,902 orang atau 1.6 peratus penjawat awam di peringkat Persekutuan masih belum mendaftar untuk divaksin.
"Jumlah ini bagaimanapun kecil berbanding hampir 98 peratus penjawat awam Persekutuan sudah pun mengambil vaksin seperti ketetapan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
"Diharapkan jumlah ini juga akan terus bertambah dari semasa ke semasa akan datang," katanya.
Pada 30 September lalu, JPA mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini.
JPA memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Selain itu juga, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).