[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 22, 2021 @ 2:37pm[email protected]
Zul Mazuan (baju merah) didakwa di Mahkamah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, terhadap empat tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii, rogol dan samun terhadap seorang wanita warga Myanmar 12 Oktober lalu. - NSTP/Mikail Ong
BUTTERWORTH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap empat tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii, rogol dan samun terhadap seorang wanita warga Myanmar 12 Oktober lalu.
Tertuduh, Zul Mazuan Zul Hilman @ Suresh Kumar, 25, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama, Zul Mazuan didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita warga Myanmar serta dituduh merompak sejumlah wang RM200 dengan menggunakan sebilah pisau terhadap mangsa yang sama.
Tertuduh juga didakwa merogol wanita warga asing itu dengan meletakkan sebilah pisau di leher mangsa dan semua tuduhan itu dilakukan di sebuah rumah di No 14, Tingkat Kikik 2, Taman Inderawasih di Perai, dekat sini, jam 4 pagi 12 Oktober lalu.
Zul Mazuan didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 377B, Seksyen 392/397 dan Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.
Bagi Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan, diikuti Seksyen 392/397 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan manakala Seksyen 392 boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu, lelaki itu juga dituduh merompak RM200 dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan membabitkan mangsa seorang wanita warga tempatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Medan Kikik 1, Taman Inderawasih di Prai, dekat sini pada 9 Oktober lalu, kira-kira jam 5.15 pagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Nur Fazliyana Ahmad memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, pihak peguam yang mewakili tertuduh meminta mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan ikat jamin dengan memaklumkan bahawa bapa tertuduh sebagai penjamin.
Nor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhannya berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap empat pertuduhan terbabit, selain meletakkan syarat bahawa tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sehingga perbicaraan kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 29 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.