CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1430|Reply: 0

Hadis sahih: Tidak wajar dicemari sangkaan salah

[Copy link]
Post time 26-10-2021 09:15 PM | Show all posts |Read mode
Hadis sahih: Tidak wajar dicemari sangkaan salah



GAMBAR hiasan

HADIS sumber kedua selepas al-Quran dan kewujudannya sehingga ke hari ini berdasarkan jaluran periwayatan yang sangat terpelihara. Sebarang bentuk pemahaman salah yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam tentang kedudukan hadis perlu diperbetulkan.

Pemahaman salah terhadap hadis Rasulullah SAW boleh berlaku apabila wujud kesangsian yang cuba disebarkan kepada masyarakat mengenai status hadis yang sampai kepada kita hari ini termasuk melibatkan hadis sahih. Isu ini perlu diberi penjelasan yang tepat lebih-lebih lagi melibatkan kenyataan secara pukal oleh pihak tertentu bahawa hadis yang sampai kepada kita ungkapan yang boleh jadi benar dan boleh jadi sebaliknya walaupun status hadis berkenaan disahkan oleh bilangan ulama hadis yang berkredibiliti.

Hadis yang disahkan berstatus sahih datang daripada Rasulullah SAW tidak wajar dicemari dengan sangkaan salah kerana ia boleh mengundang salah faham terhadap sumber utama dalam Islam. Dalam hal ini, perlu difahami Rasulullah SAW sendiri memberi amaran tegas kepada golongan yang cuba menyandarkan sesuatu perkara kepada baginda sedangkan ia tidak pernah dinyatakan olehnya.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka."

Justeru, dalam memahami jaluran periwayatan hadis Rasulullah SAW, kita perlu mengenali kumpulan manusia yang bersama baginda yang dikenali sebagai golongan sahabat. Golongan sahabat adalah manusia yang memulakan jaluran periwayatan pertama kerana merekalah yang mendengar secara langsung daripada Rasulullah SAW.

Apabila kita mengenali golongan sahabat maka ia sangat meyakinkan bahawa sememangnya mereka mendengar kata-kata Rasulullah SAW tanpa terjebak dalam sebarang bentuk penipuan atau kelalaian. Inilah antara perkara penting yang perlu difahami agar kita dapat menerima hadis Nabi SAW dengan penerimaan yang yakin kerana para sahabat baginda bukanlah seperti standard manusia seperti kita pada hari ini.

Sahabat Rasulullah SAW yang mendengar sendiri kata-kata daripada baginda adalah kelompok manusia yang mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Allah meredai mereka dan mereka juga meredai segala ketetapan yang ditakdirkan oleh Allah SWT untuk mereka. Sahabat Rasulullah SAW semuanya disediakan syurga untuk mereka dan mereka kekal menjadi penghuni syurga selama-lamanya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan orang yang terdahulu iaitu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia (Allah) serta Dia menyediakan untuk mereka syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar."

Dalam ayat al-Quran itu, Allah SWT turut mengiktiraf golongan yang mengikuti jejak langkah sahabat Rasulullah SAW kerana semua mereka mendapat petunjuk daripada-Nya. Ini satu bukti jelas bahawa perkhabaran yang datang daripada Rasulullah SAW menerusi jaluran periwayatan yang disahkan sahih oleh ulama adalah sesuatu yang tidak boleh disangsi lagi. Tidak timbul sebarang kemungkinan yang boleh dikira berbentuk tohmahan terhadap periwayat hadis Nabi SAW.

Selain itu, sahabat Nabi SAW golongan terbaik daripada kalangan manusia. Ini dibuktikan menerusi ungkapan Jabir bin Abdullah tentang sahabat Nabi yang terlibat dalam Bai'ah ar-Ridwan yang bermaksud: "Rasulullah SAW bersabda kepada kami pada hari Hudaibiyah iaitu ketika Bai'ah ar-Ridwan: "Kamu semua (sabahat) adalah sebaik-baik penghuni dunia." Jabir berkata lagi: "Pada ketika itu, bilangan kami berjumlah seribu empat ratus orang."

Penjelasan itu bermaksud bilangan sahabat tidaklah sedikit. Sahabat mendengar kata-kata Rasulullah SAW secara langsung dengan kata-kata itu juga diriwayatkan oleh sahabat lain serta mereka tidak pernah berselisihan sesama sendiri dalam periwayatan hadis. Ini menjadi bukti sahabat mendapat pentunjuk daripada Allah SWT dalam meriwayatkan nas daripada Rasulullah SAW.

Malah, Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf kehebatan sahabat baginda dan golongan yang mengikut jalan mereka menerusi sabda baginda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah yang ada pada zamanku, kemudian setelah mereka kemudian setelah mereka."

Sahabat Rasulullah SAW dan golongan yang hampir dengan mereka adalah kelompok manusia yang perlu diyakini mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Adalah sesuatu yang mustahil bagi mereka semua berpakat untuk menyampaikan sesuatu yang tidak benar. Setiap perbuatan sahabat mencerminkan kedudukan mereka yang menerima tarbiah langsung daripada Rasulullah SAW. Mereka tidak akan berpakat membohongi perkhabaran yang datang daripada Rasulullah SAW kerana kecintaan mereka terhadap baginda.

Kedudukan sahabat juga dapat dilihat berdasarkan nilai amalan yang dilakukan oleh mereka. Nilai amalan sahabat tidak menyamai nilai amalan manusia biasa kerana pengorbanan mereka yang luar biasa.

Rasulullah SAW bersabda: "Jangan kamu mencerca sahabatku. Sesungguhnya sekiranya ada dalam kalangan kamu menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun, ia tidak akan menyamai nilai secupak makanan ataupun setengahnya yang diinfakkan oleh mereka (sahabat Rasulullah)."

Sesungguhnya Islam sampai kepada kita menerusi jalur periwayatan yang sangat terpelihara. Usah semudahnya membayangkan sahabat dan generasi selepasnya yang menyampaikan Islam daripada Rasulullah SAW, memiliki sifat dan ilmu yang setaraf dengan kita yang banyak kelemahan ini. Lantas daripada pemahaman salah itu pula dengan mudah menimbulkan kesangsian terhadap periwayatan mereka tentang nas agama.

Meskipun sahabat Rasulullah SAW juga manusia namun mereka manusia yang diberi petunjuk dan jumlah mereka bukan sedikit. Kebijaksanaan mereka dalam menyampaikan periwayatan nas agama diiktiraf sepertimana dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. Allah SWT memelihara agama Islam dengan mengurniakan kehebatan kepada golongan yang membawa periwayatan nas agama.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Demi Allah, kamu semua akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi adanya bersama kamu orang yang melihat orang yang pernah melihatku dan bersahabat dengan aku."

Begitulah gambaran kewibawaan sahabat Rasulullah SAW yang bersama-sama baginda menyebar ajaran Islam malah mempertahankan kesucian agama ini sehingga nikmat beragama Islam terus dikecapi sehingga ke hari ini.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... mari-sangkaan-salah

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 04:40 PM GMT+8 , Processed in 0.245031 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list