[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - November 3, 2021 @ 5:59pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/ila_1635933571.jpg)
Pengarah PERKESO Pulau Pinang, Othman Mohd Nordin (kanan) berbual dengan Norazemie Abdul Rahim, 43, serta anak, Normuhammad Afiq, 15, dan Normuhaini Afiqa Husna, 9. - NSTP/ FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
BALIK PULAU: Kematian tragik Suhaila Zainol Abidin, 45, akibat dirempuh kenderaan ketika dikatakan cuba membantu mangsa kemalangan di Jalan Tun Dr Awang di Bayan Lepas, dekat sini empat hari lalu, mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Hari ini, suami mangsa, Norazemie Abdul Rahim, 43, menerima sumbangan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat yang diserahkan PERKESO di rumahnya di Simpang Empat, Jalan Balik Pulau, di sini.
Norazemi berkata, dia tidak menyangka isterinya layak menerima sumbangan itu kerana sudah lebih 12 tahun berhenti kerja dan tidak mencarum sebelum dihubungi wakil PERKESO bagi memaklumkan perkara berkenaan.
"Saya tahu dia pernah kerja kilang di Bayan Lepas tetapi sudah berhenti pada 2009. Jadi saya fikir dia sudah tidak layak menerima pencen kerana sudah lama tidak mencarum dan saya langsung tidak bertanya lanjut kepada PERKESO," katanya.
Katanya, wang sumbangan terbabit akan digunakan sebaiknya bagi keperluan dan pembelajaran dua anak, Normuhammad Afiq, 15, dan Normuhaini Afiqa Husna, 9 tahun.
"Sekurang-kurangnya 'sumbangan' Suhaila kepada anak-anak tetap berterusan meskipun dia sudah tiada lagi di dunia ini," katanya yang bekerja sebagai mekanik.
Terdahulu, Norazemi menerima lawatan Pengarah PERKESO Pulau Pinang, Othman Mohd Nordin bersama Pengurus PERKESO Georgetown, Rafidah Abdul Rahim dan Skuad PERKESO Prihatin bagi menyerahkan sumbangan berkenaan.
Othman berkata, Suhaila direkodkan mula mencarum dengan PERKESO sejak 1992 hingga 2009 yang membolehkannya layak menerima pencen dan faedah terbabit.
Mengambil iktibar dengan kejadian itu, Othman berkata, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa mereka layak menerima faedah daripada PERKESO meskipun sudah lama tidak mencarum.
"Kita harap lebih ramai tampil mencarum dengan PERKESO terutama yang bekerja sendiri supaya sekiranya ditimpa kejadian tidak diingini, mereka layak menerima faedah bagi kesinambungan hidup. Orang ramai boleh datang ke pejabat PERKESO berhampiran bagi membuat semakan," katanya lagi.
Dalam nahas Sabtu lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.36 malam.
Kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun terbabas lalu merempuh penunggang motosikal, Faizal Abu Bakar, 33, Suhaila dan adik iparnya, Fatimah Mahmud, 41. Faizal dan Suhaila maut dalam kemalangan itu, manakala pemandu kereta dan Fatimah cedera dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Suhaila dan Fatimah sebelum itu dikatakan cuba membantu penunggang motosikal yang terbabit kemalangan sebelum dirempuh kereta berkenaan.