Jitra: Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh di kawasan sawah yang digenangi air akibat banjir sebelum dihanyutkan ke sungai berhampiran di Kampung Kubu di sini, hari ini.
Mangsa, Omar Ismail, 22, dikatakan memukat ikan bersama bapa mentuanya memukat ikan di lokasi itu sebelum mangsa dihanyutkan arus menghala ke kawasan sawah bersebelahan sungai berkenaan.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas mangsa lemas pada 3.03 petang.
Menurutnya, operasi mencari diketuai Fakhrul Radzi Omar bersama pasukan dari BBP Jitra menggunakan sebuah bot penyelamat.
"Pasukan mencari menggunakan sebuah bot untuk kaedah pencarian permukaan air dan pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) berada di lokasi untuk membantu," katanya ketika ditemui di lokasi.
Wan Mohd Hamizi berkata, operasi pencarian dilakukan di lokasi terakhir mangsa dilihat terapung pada anggaran jarak 150 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan.
Beliau berkata, paras kedalaman air di kawasan itu dianggarkan sedalam 1.5 meter.
"Pada 7.09 malam, Pos Kawalan Bomba (PKB) Kampung Kubu diaktifkan dan operasi turut disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Operasi penyelaman dilakukan enam kali oleh PPDA sehingga 7.20 malam tadi dan ditangguhkan pada 8.18 malam.
"Bagaimanapun operasi pencarian mangsa di permukaan air masih diteruskan bergantung kepada keadaan cuaca di lokasi kejadian," katanya.
Wan Mohd Hamizi menasihatkan orang ramai di negeri supaya jangan melakukan sebarang aktiviti di kawasan banjir kerana berisiko dihanyutkan arus deras.