ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 954 orang daripada 266 keluarga pada jam 8 pagi hari ini, berikutan fenomena air pasang besar yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini semalam.
Jumlah itu berbeza berbanding jam 8 malam tadi iaitu hanya seramai 933 mangsa daripada 263 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) empat daerah di negeri ini.
Satu lagi PPS dibuka di daerah Baling yang dibuka jam 5.45 pagi tadi yang menempatkan seramai 10 mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak A.
Ini menjadikan jumlah PPS bertambah sebanyak 13 di lima daerah iaitu tujuh di Kota Setar, masing-masing dua di Kubang Pasu dan Pendang manakala satu di Pokok Sena dan Baling.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata daerah Kota Setar mencatatkan bilangan mangsa yang tertinggi setakat ini iaitu 592 mangsa daripada 174 keluarga berbanding semalam seramai 575 mangsa daripada 170 keluarga.
Beliau berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar masih kekal seramai 80 mangsa daripaad 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti seramai 67 mangsa daripada 25 keluarga manakala PPS SK Darul Hikmah seramai 118 mangsa daripada 32 keluarga.
"Empat lagi PPS di Kota Setar iaitu di PPS SK Haji Wahab menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga, PPS SK Convent seramai 87 mangsa daripada 22 keluarga, SK Titi Gajah seramai 60 mangsa daripada 20 keluarga dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pula menempatkan seramai 158 mangsa daripada 46 keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Muaz berkata, mangsa keseluruhan mangsa banjir di Pendang pula seramai 287 mangsa daripada 75 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah (206 mangsa dari 50 keluarga) dan PPS Dewan Cenderawasih seramai 81 mangsa dari 25 keluarga.
Beliau berkata, mangsa banjir di daerah Pokok Sena pula berkurangan apabila hanya tinggal 10 mangsa dari tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Tualang selepas PPS di Surau Permatang Limau ditutup sepenuhnya petang semalam.
"Jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu pula menurun daripada 80 mangsa kini tinggal 55 mangsa dari 14 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang seramai 27 mangsa dari sembilan keluarga manakala di PPS SK Malau seramai 28 mangsa dari lima keluarga.