ALOR SETAR: Polis meminta individu yang terbabit dalam kes pembelian Darjah Kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) tidak diiktiraf tampil membantu siasatan.
Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan selepas menahan 19 individu berusia antara 30 hingga 63 tahun dalam operasi khas setakat kelmarin.
Katanya, polis turut tidak menolak kemungkinan menahan beberapa lagi individu yang dalam perhatian termasuk dalang utama sindiket yang dipercayai turut menjadi orang tengah dalam kegiatan berkenaan.
"Setakat hari ini, belum ada tangkapan baharu kerana siasatan lanjut masih dilakukan termasuk bagi mengesan beberapa individu penting dan dalang di sebalik kegiatan ini.
"Individu yang ada membeli darjah kebesaran atau menjadi mangsa sindiket berkenaan dapat tampil membantu menyelesaikan siasatan kes ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket menawarkan darjah kebesaran tidak diiktiraf selain boleh menyemak status mereka di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/kamarul_1637306562.jpg)
Datuk Kamarul Zaman Mamat
Semalam, media melaporkan polis menahan 19 individu dipercayai terbabit menjual dan menggunakan darjah kebesaran sebelum mendapat kurniaan Sultan Kedah dalam operasi bermula sejak 7 November hingga kelmarin.
Operasi dibuat susulan laporan Pejabat SUK Kedah 5 Oktober yang mengesan berlaku kegiatan terbabit.
Berikutan itu, polis menahan individu berkaitan di beberapa lokasi sekitar negeri ini dan di negeri lain di Semenanjung dengan seorang suspek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.