Sumber Entertainment Weekly
Pelakon, penyanyi dan model, Evan Rachel Wood menerusi bahagian satu siri dokumentari Phoenix Rising sebelum ini mendakwa dia telah menjadi mangsa rogol bekas teman lelakinya, Marilyn Manson sepanjang tempoh mereka bersama dari 2006 hingga 2011.
Tidak hanya dipaksa melakukan hubungan seksual, Wood turut mendakwa Manson telah membiusnya menggunakan pil tidur serta dadah jenis syabu dan memperkosanya ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Selepas bahagian pertama itu ditayangkan, Manson diwakili peguamnya mengeluarkan kenyataan mengatakan pendedahan Wood adalah satu konspirasi menjatuhkan reputasinya sebagai seorang selebriti yang dikenali ramai.
Manson juga mengatakan dia bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas Wood atas kesalahan fitnah.
Walaupun berhadapan dengan risiko saman daripada Manson, perkara itu sama sekali tidak menghalang Wood untuk terus melakukan pendedahan mengenai perbuatan penyanyi itu terhadapnya dalam temu bual siri kedua Phoenix Rising.
Antara pendedahan yang bakal diceritakan oleh Wood adalah mengenai sikap Manson yang tidak peduli akan keadaan dirinya yang baru sahaja selesai menjalani prosedur menggugurkan anak.
"Dia meninggalkan saya ketika sedang menjalani proses pengguguran. Saya sangat sedih dan takut. Saya sedar, setiap wanita diberikan hak untuk membuat pilihan tetapi tidak bermakna saya tidak berduka.
"Selesai prosedur, dia meminta saya untuk menyediakan makan malam sedangkan saya perlu berehat," katanya.
Selain itu, antara kisah yang dikongsikan adalah sikap Manson yang enggan menggunakan kondom ketika melakukan hubungan seks. -CARI
|